ASIA
2 min membaca
Malaysia tamatkan pengecualian visa warga India pada 31 Disember
Langkah tegas ini bertujuan membendung penyalahgunaan kemudahan perjalanan berulang untuk menjalankan aktiviti pekerjaan atau perniagaan secara haram di Malaysia.
Malaysia tamatkan pengecualian visa warga India pada 31 Disember
(FAIL) Malaysia tamatkan pengecualian visa warga India pada 31 Disember. / AFP (Wire)
 

Malaysia akan menamatkan pengecualian visa bagi warga India untuk lawatan sosial jangka pendek sehingga 30 hari pada 31 Disember ini, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata penamatan inisiatif di bawah Pelan Liberalisasi Visa itu bertujuan memperkukuh saringan sebelum ketibaan dan memastikan kawalan kemasukan warga asing lebih teratur.

“Ia adalah antara pendekatan kawalan imigresen dan penguatkuasaan secara menyeluruh yang dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Kemudahan kemasukan tanpa visa bagi warga India diperkenalkan pada Disember 2023 untuk merancakkan semula sektor pelancongan selepas pandemik COVID-19.

Saifuddin turut memaklumkan penamatan kemudahan Visa Berulang Kali (MEV) bagi lawatan sosial jangka pendek berkuat kuasa 1 September lalu, melibatkan negara yang tidak memerlukan visa, termasuk China.

“Langkah tegas ini bertujuan membendung penyalahgunaan kemudahan perjalanan berulang untuk menjalankan aktiviti pekerjaan atau perniagaan secara haram di negara ini,” katanya.

Menurut beliau, penggunaan Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) membolehkan maklumat perjalanan dikemukakan dalam talian dalam tempoh tiga hari sebelum ketibaan bagi membantu tapisan keselamatan.

KDN turut memperkukuh Sistem Pemeriksaan Awal Penumpang (APSS) untuk menganalisis maklumat sebelum pengembara berlepas ke Malaysia.

“Pengembara yang mempunyai rekod kesalahan imigresen, disenarai hitam atau dikesan mempunyai indikator risiko keselamatan akan ditandakan lebih awal untuk tindakan pemeriksaan lanjut setibanya di pintu masuk,” katanya.

SUMBER:TRT Global