ASIA
2 min membaca
Junta Myanmar rancang tubuh entiti baharu perketat kawalan tentera dan kerajaan baharu
Min Aung Hlaing mengambil alih kuasa pada 2021 dengan menggulingkan kerajaan pimpinan penerima Hadiah Nobel Keamanan Aung San Suu Kyi, sekali gus mencetuskan protes besar-besaran yang berkembang menjadi perang saudara.
Junta Myanmar rancang tubuh entiti baharu perketat kawalan tentera dan kerajaan baharu
Sejak rampasan kuasa pada 2021, lebih 93,000 orang dilaporkan terbunuh akibat keganasan di negara bergolak itu. (FAIL) / Reuters
13 jam yang lepas

Junta Myanmar merancang menubuhkan sebuah entiti baharu bagi menyelia pentadbiran tentera dan awam, satu langkah yang menurut penganalisis akan membolehkan ketua junta Min Aung Hlaing memegang jawatan presiden tanpa melonggarkan cengkamannya ke atas angkatan bersenjata.

Rancangan itu diumumkan menerusi media kerajaan pada Selasa, beberapa hari selepas fasa akhir pilihan raya yang dijangka menyaksikan Parlimen bersidang bulan depan dan kuasa diserahkan kepada kerajaan awam secara nominal.

Badan baharu itu, dikenali sebagai Majlis Perundingan Kesatuan, akan dianggotai lima ahli.

Menurut Naing Min Khant dari Institute for Strategy and Policy - Myanmar, mandat majlis berkenaan sangat luas, merangkumi kawalan ke atas keselamatan negara serta proses perundangan, sekali gus mewujudkan sebuah “super-body” yang berada di atas cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Min Aung Hlaing mengambil alih kuasa pada 2021 dengan menggulingkan kerajaan pimpinan penerima Hadiah Nobel Keamanan Aung San Suu Kyi, sekali gus mencetuskan protes besar-besaran yang berkembang menjadi perang saudara.

Sejak itu, lebih 93,000 orang dilaporkan terbunuh akibat keganasan di negara bergolak itu.

Pemimpin berusia 69 tahun itu menyatakan hasrat untuk menyerahkan “tanggungjawab negara” kepada kerajaan seterusnya dan dijangka menjadi presiden, selepas parti yang disokong tentera memenangi majoriti besar kerusi dalam pilihan raya baru-baru ini.

Proses pilihan raya Myanmar yang bermula pada Disember 2025 and berkakhir bulan lalu menerima kecaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta kumpulan hak asasi, dengan menyifatkannya sebagai satu proses yang tidak seimbang.

Seorang peguam dipetik sebagai berkata bahawa penubuhan majlis berkenaan berpotensi membolehkan Min Aung Hlaing mengekalkan kawalan penuh ke atas tentera serta pentadbiran awam dan hal ehwal perundangan, sambil menghalang pengganti ketua tentera daripada mengumpul terlalu banyak kuasa.

Penganalisis juga memberi amaran bahawa tiada mekanisme pemantauan terhadap majlis baharu itu, menyifatkan susunan tersebut sebagai mempunyai “ketiadaan kebertanggungjawaban sepenuhnya,” sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan tadbir urus dan demokrasi di Myanmar.

SUMBER:Reuters