ASIA
2 min membaca
Anwar kongsi kejayaan Malaysia
Anwar menekankan bahawa keamanan dan kestabilan politik adalah tunjang kepada reformasi dalam pendidikan, institusi, tenaga serta usaha digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI).
Anwar kongsi kejayaan Malaysia
Anwar berkata lawatan itu adalah satu mercu tanda penting untuk kerjasama Malaysia dan Timor-Leste. / Foto: Pejabat Perdana Menteri / TRT Global
24 September 2025

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kejayaan Malaysia mengekalkan kestabilan politik dan pengurusan kewangan berhemah menjadi asas kepada pelaksanaan pelbagai reformasi serta pertumbuhan ekonomi negara, menurut laporan Bernama.

Berucap kepada diaspora Malaysia dan alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) serta Program Kerjasama Pertahanan Malaysia di Dili, Timor Leste, Anwar menekankan bahawa keamanan dan kestabilan politik adalah tunjang kepada reformasi dalam pendidikan, institusi, tenaga serta usaha digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI).

“Kita faham proses ini perlu dijalankan dengan bijaksana, tidak terburu-buru, tidak mencetuskan perpecahan. Mengapa Malaysia capai tahap ini? Pertama sekali kerana adanya keamanan. Ada kestabilan politik,” katanya.

Anwar, yang berada di Timor-Leste untuk lawatan rasmi dua hari, berkata kerjasama kepimpinan, penjawat awam dan sektor swasta amat penting bagi menarik pelaburan asing serta memperkukuh pelaburan domestik, sekali gus memastikan ekonomi negara terus berkembang.

Beliau turut menegaskan bahawa tadbir urus baik adalah kunci kepada kemajuan Malaysia, sambil mengingatkan tentang bahaya rasuah, salah guna kuasa dan pembaziran.

Katanya, langkah berjimat cermat termasuk penjimatan projek tebatan banjir serta subsidi bersasar membolehkan harga petrol dikurangkan kepada RM1.99 seliter, antara yang terendah di dunia.

“Inilah sebab saya terus menyuarakan isu rasuah, sama ada di Timor-Leste atau di mana sahaja. Pemimpin mesti sedar mereka akan dipertanggungjawabkan – sekarang, kemudian, dan akhirnya kepada Tuhan,” ujarnya.

Anwar turut menyeru rakyat Malaysia supaya mengatasi politik perkauman dan kenegerian yang boleh memecahbelahkan negara.

Beliau mengulangi komitmen Malaysia terhadap agenda digitalisasi, peralihan tenaga, pendidikan dan kesihatan, sambil merakamkan penghargaan kepada PETRONAS atas penglibatan di Timor-Leste sebagai simbol kerjasama serantau.