PERANG GAZA
2 min membaca
PMAnwar doakan kejayaan Global Sumud Flotilla
Anwar berkata doa ikhlas rakyat Malaysia mengiringi pelayaran flotila tersebut, mencerminkan solidariti negara terhadap rakyat yang tertindas.
PMAnwar doakan kejayaan Global Sumud Flotilla
FOTO FAIL: Ketika ini, misi itu sedang belayar di perairan antarabangsa berhampiran Greece sebelum menuju ke Gaza. / AA
23 September 2025

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menzahirkan doa dan sokongan penuh terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang bertujuan menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza.

Dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin, Anwar berkata doa ikhlas rakyat Malaysia mengiringi pelayaran flotila tersebut, mencerminkan solidariti negara terhadap rakyat yang tertindas.

“Doa tulus daripada seluruh masyarakat mengiringi misi pelayaran kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF). Semoga usaha ini menjadi sinar harapan buat rakyat Gaza yang sedang diuji dan menjadi saksi kepada kesatuan nurani kemanusiaan sejagat,” katanya.

GSF merupakan inisiatif antarabangsa untuk menghantar bantuan penting kepada rakyat Palestin yang berdepan krisis kemanusiaan berpanjangan akibat sekatan oleh rejim Zionis Israel.

Ketika ini, misi itu sedang belayar di perairan antarabangsa berhampiran Greece sebelum menuju ke Gaza, memasuki fasa paling kritikal yang disifatkan sebagai penentu kejayaan keseluruhan gerakan itu dalam tempoh seminggu akan datang.

Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang turut menyertai misi berkata, kapal GSF kini dalam perjalanan untuk berkumpul dengan kapal-kapal lain yang turut serta dalam usaha bersejarah ini.

Ahmad Musa yang berada di atas kapal Alma berkata ia dijangka tiba di kawasan berhampiran Greece dalam tempoh dua hari lagi.

“Minggu ini benar-benar menjadi titik genting, penentu kepada segala usaha yang telah kami lakukan… justeru kami sangat mengharapkan doa seluruh rakyat Malaysia bagi kejayaan misi GSF,” katanya menerusi siaran langsung di TikTok bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

GSF dijadualkan tiba di perairan Gaza hujung bulan ini dengan membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan. Lebih 1,000 sukarelawan dari hampir 70 kapal menyertai pelayaran di Laut Mediterranean ini dengan satu tujuan — memecahkan kepungan terhadap Gaza.

Flotila ini menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat, dengan semua delegasi menegaskan prinsip tanpa kekerasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti global bersama rakyat Gaza.

SUMBER:TRT Global