Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadual bertemu beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Selasa depan (13 Okt) bagi membincangkan strategi terperinci mengenai penghantaran gelombang kedua bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin melalui laluan darat di Mesir.
Anwar berkata, pertemuan itu bertujuan menyelaras usaha Malaysia bersama NGO yang aktif dalam misi kemanusiaan antarabangsa dan mencari kaedah terbaik menyalurkan bantuan ke wilayah bergolak itu.
Beliau menegaskan kerajaan menyokong penuh sebarang inisiatif yang dapat membantu pembebasan Palestin dan usaha memecah sekatan di lintasan Rafah.
“Saya percaya strategi dan kebijaksanaan itu penting. Pada Jumaat (10 Okt), Bajet 2026 akan dibentangkan — kalau ada permintaan, buat sekarang! Selasa depan, saya akan panggil Sany Araby, Nadir Al-Nuri dan rakan-rakan lain untuk berbincang bagaimana hendak menembusi tembok Rafah.
“Selepas berbincang dengan mereka, kalau boleh, saya akan hubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi minggu depan. Mudah-mudahan laluan ini dipermudahkan. Yang penting, mesej kita ialah menyokong perjuangan rakyat Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Malaysia Wave, Free Palestine di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Rabu (8 Okt).
Anwar turut menegaskan dunia tidak boleh terus berdiam diri terhadap penindasan yang dihadapi rakyat Palestin.
“Alhamdulillah, dengan NGO yang menggerakkan Sumud Nusantara, nama Malaysia kini harum di persada dunia. Ini negara bebas dan merdeka yang sudi berkawan dengan semua, tetapi tetap teguh mempertahankan prinsip kebebasan dan keadilan tanpa gentar kepada sesiapa,” tambah beliau.