ASIA
2 min membaca
Peguam Thai tudung Kemboja halang rakyatnya pulang, Hun Sen kata semua bebas ke lapangan terbang
Dalam satu rencana, Krissana merujuk laporan bahawa Presiden Senat Kemboja Hun Sen didakwa mengarahkan pegawai di pintu sempadan Poipet untuk menghalang rakyat Thailand daripada pulang, sekali gus menyebabkan ramai terkandas di Kemboja.
Peguam Thai tudung Kemboja halang rakyatnya pulang, Hun Sen kata semua bebas ke lapangan terbang
Penduduk yang dipindahkan melarikan diri tidak lama selepas kampung mereka di daerah Srei Snam, Kemboja, diserang pada Isnin, 15 Disember 2025. / AP
15 Disember 2025

Seorang bekas pegawai kanan perundangan Kementerian Pertahanan Thailand memberi amaran bahawa Kemboja berdepan risiko dituduh melanggar Konvensyen Geneva sekiranya menghalang rakyat Thailand yang terkandas daripada pulang ke tanah air mereka, lapor The Nation.

Jeneral Krissana Bowornratanarak, bekas penasihat kepada Sekretariat Pertahanan dan bekas ketua Jabatan Peguam Tentera, berkata tindakan sedemikian boleh ditafsirkan sebagai penahanan orang awam sebagai tebusan, memandangkan Kemboja merupakan pihak kepada Konvensyen Geneva dan Protokol Tambahan berkaitan.

Dalam satu rencana, Krissana merujuk laporan bahawa Presiden Senat Kemboja Hun Sen didakwa mengarahkan pegawai di pintu sempadan Poipet untuk menghalang rakyat Thailand daripada pulang, sekali gus menyebabkan ramai terkandas di Kemboja.

Menurutnya, sekatan tanpa asas undang-undang yang jelas melanggar hak asasi manusia serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Beliau menegaskan bahawa dalam situasi konflik bersenjata, orang awam tidak boleh dihalang daripada kembali ke negara asal kecuali terdapat bukti kukuh penglibatan mereka dalam ancaman keselamatan.

“Mereka adalah orang awam, bukan anggota tentera, dan tidak terlibat dalam pertempuran,” katanya, sambil memberi amaran bahawa penahanan sedemikian boleh dianggap sebagai jenayah perang.

Hun Sen bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa Kemboja tidak menghalang rakyat Thailand daripada pulang, lapor The Phnom Penh Post.

Sebaliknya, Hun Sen berkata Kemboja hanya menggantung perjalanan darat atas faktor keselamatan susulan pertempuran yang sedang berlaku di sepanjang sempadan darat dan maritim.

Dalam kenyataan di media sosial pada 14 Disember, Hun Sen berkata perjalanan melalui udara masih dibenarkan sepenuhnya, dan rakyat Thailand boleh meninggalkan Kemboja melalui penerbangan dari Phnom Penh atau Siem Reap, atau melalui Vietnam bagi mereka yang berada berhampiran sempadan negara itu.

Beliau turut menegaskan bahawa langkah penutupan sempadan darat adalah demi melindungi nyawa rakyat kedua-dua negara, bukan untuk menahan atau memperalatkan orang awam.

Ketegangan di sempadan Thailand–Kemboja memuncak sejak 7 Disember, apabila tentera kedua-dua negara melancarkan serangan, sekali gus mendorong pihak berkuasa menutup semua lintasan darat pada 13 Disember atas alasan keselamatan.