China menggesa gencatan senjata disegerakan dan dialog disambung semula bagi menyelesaikan pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand, sambil menegaskan sokongan terhadap usaha pengantaraan yang dipimpin ASEAN, menurut kenyataan yang dikongsi Duta China ke Kemboja, Wang Wenbin.
Memetik Utusan Khas Kementerian Luar China bagi Hal Ehwal Asia Deng Xijun, kenyataan itu menyebut keutamaan segera adalah “mencapai gencatan senjata seawal mungkin, memulakan semula dialog dan menyelesaikan pertikaian sempadan melalui kaedah yang aman”.
Deng menyampaikan pendirian itu ketika menjalankan diplomasi ulang-alik ke Kemboja dan Thailand bagi meredakan ketegangan susulan konflik di kawasan sempadan.
China turut menyatakan sokongan terhadap peranan ASEAN sebagai perantara, termasuk pasukan pemerhatinya dalam memantau sebarang gencatan senjata.
Katanya, Beijing juga bersedia “mewujudkan syarat dan menyediakan platform dialog serta rundingan antara kedua-dua pihak”, jika ada permintaan.
Deng menggesa kedua-dua negara berkompromi dan membina semula kepercayaan bersama.
“Diharapkan Kemboja dan Thailand dapat mencari jalan tengah, berusaha memulihkan kepercayaan dan membina semula keamanan di sempadan,” katanya.
Pada 23 Disember, Deng menamatkan misi diplomasi ulang-alik selama enam hari, dengan China Daily melaporkan Beijing kekal bersedia untuk memudah cara dialog dan rundingan antara kedua-dua negara jiran itu.
Usaha itu menyusuli perbualan telefon berasingan Menteri Luar China Wang Yi dengan rakan sejawatannya dari Kemboja dan Thailand bagi menggalakkan gencatan senjata.
Seruan meredakan ketegangan turut disuarakan Kesatuan Eropah. Menteri Hal Ehwal Eropah dan Luar Perancis Jean-Noël Barrot berkata konflik itu telah memaksa hampir satu juta orang berpindah dan memberi kesan kemanusiaan yang semakin serius, sambil menegaskan bahawa “keamanan yang adil dan berkekalan hanya boleh dicapai melalui rundingan”.












