Thailand merekodkan lebih 31 juta ketibaan pelancong asing setakat tahun ini, dengan pengunjung dari Malaysia muncul sebagai kumpulan terbesar, menurut Kementerian Pelancongan dan Sukan.
Dalam kemas kini terbaharu bagi tempoh 1 Januari hingga 21 Disember 2025, kementerian itu memaklumkan Thailand menerima 31.76 juta pelancong asing, susut 7.25 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, namun berjaya menjana pendapatan pelancongan yang dianggarkan sebanyak 1.48 trilion baht.
The Nation melaporkan lima pasaran utama yang menyumbang kepada ketibaan pelancong ialah Malaysia dengan 4.38 juta pelancong, diikuti China (4.36 juta), India (2.4 juta), Rusia (1.8 juta) dan Korea Selatan (1.51 juta).
Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Sukan Natthriya Thaweevong berkata ketibaan terkumpul telah melepasi 31 juta, dengan peningkatan ketara dicatatkan sepanjang minggu lalu, termasuk lonjakan pelawat jarak jauh yang mencerminkan keyakinan kukuh dalam kalangan pengembara.
Beliau berkata ketibaan pelancong jarak jauh pada Disember telah melepasi 900,000 orang, manakala pada minggu terkini, angka itu meningkat lebih 20 peratus kepada kira-kira 353,300 pelawat.
Katanya, pasaran jarak dekat turut berkembang, khususnya pelawat dari Malaysia, yang didorong oleh cuti sekolah.
Bagi tempoh 15 hingga 21 Disember, Thailand merekodkan 778,341 ketibaan pelancong asing, meningkat 10.44 peratus minggu ke minggu, dengan purata 111,191 pelawat sehari.
Lima negara teratas bagi minggu tersebut ialah China, Malaysia, India, Rusia dan United Kingdom.
Kementerian menjangkakan ketibaan pelancong akan terus meningkat sempena musim cuti musim sejuk dan Krismas, disokong dengan langkah kerajaan yang memudahkan perjalanan ke Thailand, termasuk penggantungan keperluan kad ketibaan dan pelepasan Tor Mor 6 serta usaha menggalakkan syarikat penerbangan menambah kekerapan penerbangan.










