Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Thailand Anutin Charnvirakul memohon maaf atas kekeliruan yang timbul susulan kenyataannya sebelum ini mengenai kemungkinan pencerobohan ke atas wilayah Kemboja, lapor The Nation.
Bercakap di Pangkalan Tentera Udara Diraja Thailand Don Mueang, beliau menjelaskan bahawa Thailand dan Kemboja sedang mematuhi perjanjian damai yang dipersetujui, dan kawasan yang dirujuknya sebelum ini adalah kawasan tuntutan yang masih dalam proses rundingan antara kedua-dua negara.
“Itu kawasan pertikaian dan kedua-dua pihak perlu meneruskan rundingan bagi menjelaskan perkara tersebut. Jika kata-kata saya menimbulkan kekeliruan, saya mohon maaf. Maksud saya adalah kedua-dua negara mesti bertindak mengikut perjanjian,” katanya.
Anutin berkata beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Kemboja Hun Manet bahawa Thailand bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya sebaik Kemboja memenuhi empat syarat yang telah dipersetujui, di mana pelaksanaannya kini sedang dipercepatkan oleh Phnom Penh.
Beliau turut menjelaskan bahawa Thailand bersedia memulangkan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan sebaik pihak tentera mengesahkan kesiapsiagaan, dengan pemeriksaan kesihatan dijalankan terlebih dahulu bagi memastikan ketelusan dan layanan berperikemanusiaan.
Anutin menegaskan tiada sebarang perbincangan mengenai pembukaan semula pintu sempadan dengan Hun Manet, sambil menjelaskan bahawa Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT), yang terdiri daripada diplomat pertahanan negara anggota ASEAN, kini memantau pelaksanaan proses damai.
Beliau turut memaklumkan bahawa operasi pembersihan periuk api dijangka mengambil masa antara satu hingga dua bulan, manakala tindakan bersama terhadap rangkaian penipuan dalam talian akan diteruskan oleh agensi keselamatan kedua-dua negara.
Mengenai kemungkinan pembinaan pagar sempadan, Anutin berkata perkara itu akan diserahkan kepada perbincangan antara pihak tentera kedua-dua negara, dengan menegaskan bahawa keputusan seperti itu perlu dibuat secara berhati-hati dan melalui rundingan dua hala.













