Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja Maly Socheata mengesahkan serangan ketenteraan Thailand di wilayah Kemboja masih berterusan, dengan zon konflik kini dilaporkan semakin meluas, lapor The Phnom Penh Post.
Dalam perkembangan berkaitan, institusi kerajaan, sektor swasta dan orang awam menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Pegawai Waran Mut Saveun, yang terkorban pada 10 Disember di barisan hadapan Boeung Trakuon.
Kejadian itu lebih menyayat hati apabila Saveun dilaporkan sedang hamil empat bulan ketika terbunuh dalam pertempuran tersebut.
Pada Khamis Kementerian Hal Ehwal Wanita Kemboja menerusi satu hantaran rasmi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga pegawai tentera berkenaan, sambil menyifatkan Saveun sebagai anggota berani yang mengorbankan nyawanya demi mempertahankan kedaulatan wilayah Kemboja.
Saveun, 43, merupakan anggota Batalion Kereta Kebal 67 di bawah Wilayah Ketenteraan 5 Tentera Diraja Kemboja dan ditempatkan di Boeung Trakuon, daerah Sampov Loun, wilayah Battambang.
Beliau berasal daripada keluarga tentera dan meninggalkan seorang anak perempuan yang kini menuntut dalam bidang kesusasteraan Inggeris tahun kedua.
Menurut cawangan Universiti Buddha Preah Sihanouk Raja di Battambang, jenazah Saveun ditempatkan di rumah keluarganya di kawasan Phnom Touch, Kampung Inchit, Komun Chheu Teal, daerah Banan, bagi upacara pengebumian tradisional.
Universiti itu turut menyampaikan ucapan dukacita kepada anak perempuannya, sambil menyifatkan pengorbanan Saveun sebagai satu kehilangan besar kepada negara.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Kemboja menafikan laporan media Thailand yang mendakwa Kemboja menggunakan tentera upahan asing untuk melancarkan serangan dron dalam konflik sempadan Kemboja–Thailand.
Kementerian itu menyifatkan dakwaan tersebut sebagai “palsu, direka-reka dan satu fitnah” terhadap Kemboja.











