Hamas berkata pihaknya bersetuju untuk membebaskan 10 tebusan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan ke arah gencatan senjata di Gaza, sambil menyifatkan rundingan yang sedang berlangsung itu sebagai “sukar” disebabkan “kedegilan” Israel.
Kumpulan pejuang Palestin itu berkata pada Rabu rundingan gencatan senjata masih berdepan beberapa halangan utama termasuk isu kemasukan bantuan kemanusiaan, pengunduran tentera Israel dari Gaza, dan “jaminan sebenar” untuk gencatan senjata kekal.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pentadbirannya kini “sangat hampir” mencapai perjanjian gencatan senjata di Gaza.
“Saya akan katakan kami semakin hampir dengan perjanjian. Saya tak tahu sama ada ia rahsia atau tidak, tapi bagi saya itu tak penting,” kata Trump ketika bertemu pemimpin-pemimpin Afrika.
“Kami mahu gencatan senjata, kami mahu keamanan, kami mahu tebusan dibebaskan, dan saya rasa kami hampir mencapainya.”
‘Peluang yang sangat baik’
Ketika ditanya tentang prospek realistik untuk gencatan senjata minggu ini, Trump menyuarakan harapan secara berhati-hati.
“Saya rasa kita ada peluang minggu ini atau minggu depan. Tapi belum tentu,” katanya.
“Namun ada peluang yang sangat baik bahawa kita akan capai penyelesaian dan perjanjian dalam minggu ini atau mungkin minggu depan.”
Kenyataan Trump itu menyusuli ucapan Utusan Khas AS bagi Misi Keamanan Steve Witkoff pada Selasa yang menyatakan harapan terhadap gencatan senjata selama 60 hari.
“Kami berharap menjelang akhir minggu ini, kita akan capai satu perjanjian yang akan membawa kepada gencatan senjata selama 60 hari,” kata Witkoff susulan kemajuan dalam rundingan.
Tentera Israel telah membunuh hampir 57,700 rakyat Palestin di Gaza sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Serangan berterusan itu telah memusnahkan wilayah tersebut, menyebabkan kekurangan makanan serta penularan penyakit.











