Malaysia akan terus mengutamakan diplomasi dalam menangani isu berkaitan Laut China Selatan sambil memastikan kepentingan maritim negara terus terpelihara, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sebagai sebuah negara maritim, Malaysia berdepan beberapa isu berkaitan sempadan maritim dengan negara jiran, namun pertikaian sedemikian tidak seharusnya membawa kepada permusuhan atau menjejaskan hubungan dua hala.
Menurut Anwar, negara-negara ASEAN telah mencapai kata sepakat bahawa rundingan dengan China perlu diteruskan secara kolektif bagi memuktamadkan Kod Tatalaku (Code of Conduct, COC) di Laut China Selatan.
“Dalam isu Laut China Selatan, ASEAN telah mencapai konsensus bahawa kita mesti meneruskan rundingan dengan China secara bersama dan mempercepatkan usaha ke arah pelaksanaan Kod Tatalaku atau COC,” katanya ketika berucap pada pelancaran Dasar Keselamatan Negara pada Khamis.
COC berperanan sebagai rangka kerja bagi mengurus pelbagai aktiviti di Laut China Selatan serta mengelakkan insiden yang berpotensi meningkatkan ketegangan antara negara-negara yang mempunyai tuntutan bertindih di kawasan tersebut.
Rundingan berhubung COC antara ASEAN dan China telah berlangsung lebih dua dekad sejak Deklarasi Tata Laku Pihak-pihak di Laut China Selatan diterima pakai pada 2002.
Malaysia yang turut mempunyai tuntutan maritim bertindih di kawasan berkenaan secara konsisten menggesa penyelesaian secara aman menerusi dialog dan diplomasi, selain mengekalkan hubungan dua hala yang konstruktif dengan China.
Anwar berkata perkembangan positif turut dicapai apabila Perdana Menteri China, Li Qiang, bersetuju untuk memperhebatkan usaha bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa COC yang sedang dirundingkan itu akan berlandaskan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982), yang menjadi rujukan utama dalam urusan berkaitan perundangan maritim antarabangsa.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa usaha diplomatik tidak bermaksud Malaysia boleh mengabaikan aspek keselamatan, sebaliknya Tentera Laut Diraja Malaysia perlu terus berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara di perairan strategik tersebut.













