Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi penguatkuasaan berkaitan untuk menentukan sama ada cip yang dibawa masuk atau melalui Malaysia telah dieksport semula ke negara lain.
Timbalan Menteri Sim Tze Tzin berkata semakan itu turut meneliti sama ada eksport semula berkenaan mematuhi undang-undang.
“Malaysia akan menjalankan semakannya sendiri secara bebas, selaras dengan undang-undang Malaysia dan berdasarkan bukti yang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peruntukan MITI dalam Belanjawan 2027 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Sim berkata MITI akan meneruskan libat urus dengan pemain industri bagi mengenal pasti tahap pendedahan serta menilai implikasi terhadap operasi dan eksport syarikat tempatan.
Kementerian turut memberikan panduan mengenai keperluan pematuhan kawalan eksport.
“Langkah ini penting bagi memastikan industri semikonduktor tempatan terus mengekalkan akses kepada pasaran antarabangsa, daya saing dan kedudukannya dalam rantaian bekalan semikonduktor global,” katanya.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan MITI berjumlah kira-kira RM1.98 bilion bagi 2027 dengan suara majoriti, selepas dibahaskan oleh 13 ahli parlimen.














