Perdana Menteri India Narendra Modi tidak menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN di Kuala Lumpur minggu ini kerana enggan bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berikutan kebimbangan kemungkinan isu Pakistan dibangkitkan, lapor Bloomberg yang memetik sumber.
Beberapa pegawai kerajaan memaklumkan bahawa pentadbiran India bimbang Trump akan sekali lagi mendakwa beliau menjadi perantara gencatan senjata antara India dan Pakistan selepas konflik bersenjata empat hari pada Mei lalu. India bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Hubungan antara New Delhi dan Washington tegang sejak insiden tersebut, terutamanya selepas Trump mengenakan tarif sebanyak 50 peratus terhadap eksport India pada Ogos lalu, termasuk penalti ke atas pembelian minyak Rusia.
Rundingan perdagangan kedua-dua negara masih berterusan tanpa sebarang kemajuan yang ketara.
Menurut sumber, pasukan Modi tidak merasakan akan ada apa-apa hasil penting dapat dicapai daripada pertemuan dua hala dengan Trump di Malaysia.
Panggilan telefon antara kedua-dua pemimpin itu pada minggu lalu juga dikatakan tidak memenuhi jangkaan New Delhi.
Modi kini giat berkempen untuk pilihan raya negeri (PRN) Bihar yang dijadual bermula minggu depan.
Kata sumber, beliau tidak mahu mengambil risiko berdepan situasi yang boleh memalukan dirinya sekiranya Trump membuat kenyataan berunsur Pakistan yang boleh dieksploitasi pihak lawan.
Ketiadaan Modi pada sidang kali ini mencetus tanda tanya kerana sejak memegang jawatan pada 2014, beliau hampir tidak pernah terlepas daripada menghadiri pertemuan dengan pemimpin ASEAN.
Namun, Modi tetap menyampaikan ucapan secara maya, manakala Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar menggantikan beliau dan bertemu Setiausaha Negara AS Marco Rubio di Kuala Lumpur.













