ASIA
2 min membaca
Anwar: Plot guling kerajaan libatkan tokoh Zionis
Anwar memberi amaran bahawa pendedahan yang bakal dibuat mungkin mengejutkan, terutama jika pihak yang dipertahankan terbukti mempunyai kaitan dengan agenda Zionis.
Anwar: Plot guling kerajaan libatkan tokoh Zionis
Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Selasa, 3 Mac 2026. / Foto: Jabatan Penerangan Malaysia / Other
6 jam yang lepas

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa cubaan menggulingkan kerajaan yang kini dalam siasatan polis, didakwa melibatkan kerjasama antara warga tempatan dan entiti asing, termasuk pembabitan secara langsung kumpulan Zionis terkemuka.

Beliau menegaskan agar semua pihak memberi ruang kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan sebelum sebarang maklumat diperincikan kepada umum atau ahli Parlimen.

Anwar memberi amaran bahawa pendedahan yang bakal dibuat mungkin mengejutkan, terutama jika pihak yang dipertahankan terbukti mempunyai kaitan dengan agenda Zionis.

"Tunggulah seminggu dua lagi. Apabila keadaan didedahkan, kita akan ceritakan segalanya. Adakah kita mahu memilih untuk membela mereka yang merujuk kepada tokoh Zionis yang jelas memusuhi Islam dan negara-negara yang mempertahankan Gaza?" katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Kenyataan itu menyusul selepas Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim mendakwa siasatan tersebut mungkin berkaitan dengan usaha membela nama baik mantan menteri kewangan Daim Zainuddin.

Shahidan turut membandingkan situasi itu dengan tindakan pemimpin PKR terdahulu yang pernah melobi bekas Presiden AS Barack Obama dalam isu 1MDB.

Anwar mendedahkan bahawa plot tersebut, yang melibatkan agensi lobi asing, ahli perbankan, dan organisasi media antarabangsa, telah bermula sejak Ogos 2024.

Strategi mereka dikesan bertujuan untuk mengganggu Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Siasatan menunjukkan sebanyak enam mesyuarat telah diadakan sepanjang tahun lalu, baik di dalam mahupun di luar negara.

Kumpulan itu dilaporkan menggunakan platform seperti International Round Table dan NGO antarabangsa untuk membina naratif bagi menjejaskan kewibawaan kerajaan dan mencabar tindakan tegas SPRM.

"Strategi mereka termasuk menghubungi media asing untuk mempertikaikan usaha kerajaan membanteras rasuah berskala besar. Mereka mahu menggunakan pengaruh luar untuk mewujudkan gerakan melalui Parlimen, dan inilah yang membimbangkan kita," tambah beliau lagi.

Tegas Anwar, isu ini melangkaui kepentingan politik kepartian kerana ia melibatkan keselamatan negara.

Tambahnya, beliau sedia memanggil Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi taklimat kepada wakil kerajaan dan pembangkang sekiranya mendapat keizinan daripada Jabatan Peguam Negara dan pihak polis.

SUMBER:TRT Global