Malaysia dan Singapura berkongsi hubungan ekonomi paling dinamik dan saling mengukuhkan dalam kalangan negara Asean, terutama dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tunjang utama kedua-dua ekonomi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) Kok Ping Soon, menurut laporan Bernama.
Beliau berkata hubungan dagangan dua hala kekal kukuh dan terus berkembang dalam bidang seperti pembuatan berteknologi tinggi, logistik dan rantaian bekalan, perkhidmatan digital, penyelesaian hijau dan lestari serta produk pengguna.
“Pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada 26 Oktober lalu, pemimpin ekonomi serantau menekankan kepentingan memperkukuh hubungan ekonomi intra-ASEAN bagi meningkatkan ketahanan rantaian bekalan dan menyokong sektor pertumbuhan baharu.
“Melalui inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), SBF bekerjasama rapat dengan rakan seperti Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Invest Johor dan Pejabat Projek Bersama JS-SEZ bagi mempertingkatkan kemudahan dagangan rentas sempadan dan mengembangkan PKS di peringkat antarabangsa,” katanya.
Kok menambah, sebagai badan perniagaan utama Singapura, SBF berperanan sebagai penghubung antara komuniti perniagaan dan kerajaan bagi mengukuhkan kerjasama dua hala, sejajar dengan seruan Sidang Kemuncak ASEAN untuk memperdalam integrasi ekonomi dan penyertaan PKS dalam rantaian nilai serantau yang lebih berdaya tahan.
Beliau berkata SBF turut memainkan peranan penting dalam integrasi ekonomi ASEAN melalui usaha mengurangkan halangan bukan tarif, memanfaatkan rangka kerja seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), serta menganjurkan Persidangan ASEAN tahunan bagi membincangkan isu daya saing, kelestarian dan pendigitalan.













