Anwar ajak firma pertahanan dunia guna manfaat dasar berkecuali Malaysia

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan Malaysia sedang membina ekosistem di mana syarikat tempatan mampu bersaing dalam rantaian bekalan antarabangsa berdasarkan keupayaan dan kualiti kerja yang tinggi.

By
Anwar Ibrahim mengajak firma pertahanan dan aeroangkasa luar negara untuk menjadikan Malaysia sebagai rakan kongsi strategik. (FAIL) / Reuters

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengajak firma pertahanan dan aeroangkasa luar negara untuk menjadikan Malaysia sebagai rakan kongsi strategik dalam industri berkenaan berdasarkan dasar berkecuali aktif yang diamalkan negara ini.

Berucap pada perasmian pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, beliau berkata pendirian Malaysia membolehkan kerjasama dikekalkan dengan semua rakan utama tanpa komplikasi politik.

“Malaysia mengamalkan dasar berkecuali aktif, yang bermaksud kita mengekalkan hubungan kerjasama dengan semua rakan utama. Pembekal Malaysia boleh memasuki rantaian bekalan anda tanpa komplikasi politik yang menyukarkan keputusan sumber di tempat lain. Dalam keadaan semasa, ini adalah pertimbangan komersial yang penting,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan Malaysia sedang membina ekosistem di mana syarikat tempatan mampu bersaing dalam rantaian bekalan antarabangsa berdasarkan keupayaan dan kualiti kerja yang tinggi.

“Disiplin yang membolehkan kontrak dimenangi juga harus memastikan kontrak itu kekal. Itulah satu-satunya asas yang wajar dibangunkan,” jelas beliau, sambil menambah bahawa pemain industri aeroangkasa negara kini memenuhi piawaian pembeli komersial yang paling teliti di dunia.

Beliau turut menyeru kontraktor utama dan pembekal Tier 1 untuk meneroka potensi pengeluar tempatan dengan lebih dekat.

“Kepada kontraktor utama dan pembekal Tier 1 di sini, datanglah mengenali pengeluar kami. Luangkan masa bersama mereka. Sebahagian daripada anda telah pun melakukannya dan saya menggalakkan yang lain untuk mempertimbangkan dengan serius,” katanya lagi.