Hujan lebat sejak pagi 10 November mencetuskan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di selatan negeri Shan, Myanmar, sekali gus menyebabkan rumah ditenggelami air dan penduduk dipindahkan ke tempat selamat, menurut laporan Global New Light.
“Banjir dan tanah runtuh berlaku di kebanyakan perbandaran di selatan negeri Shan,” menurut laporan yang memetik penduduk setempat.
Kawasan terjejas termasuk Taunggyi, Pinlon, Shwenyaung, Nyaungshwe, Yatsawk, Ywarngan, Pindaya dan Aungban.
Pada 11 November, rumah di kawasan kediaman Zaytan, Maukme, daerah Linkhe, dinaiki air.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Bomba Myanmar, anggota bomba tempatan bekerjasama dengan kumpulan berkaitan untuk membantu memindahkan penduduk.
Di Maingpun, limpahan Sungai Pon membanjiri Jalan Taunggyi-Loilem.
Anggota bomba telah dikerahkan sekitar 8 pagi bagi membantu memastikan pergerakan pengangkutan awam tidak terganggu.
Hujan lebat turut menenggelamkan kawasan kediaman Mingalar Shwebaho dan Yadana di Shwenyaung, Taunggyi, awal pagi hari sama.
Anggota bomba membantu penduduk berpindah, sementara pasukan penyelamat, pertubuhan sosial dan penduduk setempat bersama-sama menjalankan operasi bantuan di kawasan terjejas.



























