Malaysia akan meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat bagi memastikan jumlah keseluruhan tarif di bawah Seksyen 301 tidak melebihi 19 peratus, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Kementerian itu berkata cadangan tarif 18 hingga 25 peratus susulan siasatan lebihan kapasiti masih bersifat indikatif.
Kadar muktamad hanya akan diumumkan pada suku pertama 2027, selepas Wakil Perdagangan AS (USTR) mengeluarkan keputusan siasatan terhadap 14 ekonomi, termasuk Malaysia, pada 25 November.
“Setakat ini, hanya tarif 10 peratus di bawah isu buruh paksa yang dikenakan ke atas Malaysia pada 24 Julai 2026 yang sedang berkuatkuasa,” menurut MITI dalam kenyataan.
MITI berkata rundingan akan mengambil kira kedudukan Malaysia sebagai antara ekonomi terawal menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).
“Bagi memberikan kepastian dan jaminan kepada semua pihak berkepentingan, termasuk komuniti perniagaan dan pelabur, MITI akan mengemukakan perkembangan terkini mengenai perkara itu menjelang suku pertama 2027,” katanya.
Malaysia turut menegaskan negara tidak mempunyai lebihan kapasiti dalam sektor pembuatan yang boleh memesongkan atau menjejaskan pasaran global.
Bagaimanapun, MITI akan mengkaji semula barangan yang diimport dari negara ketiga bagi memastikan Malaysia tidak menyumbang kepada masalah lebihan kapasiti global.













