Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyelar amalan "dua darjat" dalam penguatkuasaan undang-undang dan norma antarabangsa, susulan tindakan pembekal dari Norway membatalkan penghantaran sistem Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia walaupun pembayaran hampir lengkap.
Bercakap dalam ucaptama di Meja Bulat Asia-Pasifik Ke-37 hari ini, Anwar menegaskan bahawa episod berkenaan mencerminkan trend berbahaya dan sikap hipokrasi sesetengah pihak yang kononnya mempertahankan kedaulatan undang-undang.
"Adakah boleh diterima bagi sesetengah negara untuk mengabaikan undang-undang dan norma antarabangsa, manakala negara lain tertakluk kepada piawaian pematuhan yang paling ketat?" soal beliau sambil menambah Malaysia akan terus menuntut tindakan diplomatik dan undang-undang.
Krisis ini tercetus selepas Norway membatalkan lesen eksport tersebut disebabkan sekatan yang lebih ketat terhadap teknologi pertahanan sensitif mereka.
Sebelum ini, Malaysia dilaporkan telah membayar 126 juta euro (RM583 juta) iaitu 95 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak.
Susulan pembatalan itu, kerajaan Malaysia telah mengemukakan notis tuntutan ganti rugi yang dianggarkan melebihi RM1 bilion.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi jaminan pembatalan unilateral oleh pihak Norway itu tidak akan menjejaskan jadual penyerahan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) mahupun kesiapsiagaan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin memaklumkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini sedang menilai sistem peluru berpandu alternatif bagi menggantikan NSM.
Dalam jawapan bertulis di parlimen, beliau berkata pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) sedang dipercepat bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tunggal asing pada masa hadapan.












