TÜRKİYE
1 min membaca
Sultan Pahang rasmi Pavilion Malaysia di COP31, Türkiye
Majlis itu merupakan sebahagian daripada penglibatan Malaysia dalam persidangan yang menghimpunkan pemimpin dunia, wakil kerajaan dan organisasi antarabangsa bagi memperkukuh tindakan iklim.
Sultan Pahang rasmi Pavilion Malaysia di COP31, Türkiye
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. / Foto: FB/KesultananPahang

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke majlis perasmian Pavilion Malaysia sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-31 (COP31) di Antalya, Türkiye, pada Isnin.

Menurut kenyataan di laman Facebook Kesultanan Pahang, majlis itu merupakan sebahagian daripada penglibatan Malaysia dalam persidangan yang berlangsung hingga 20 November, menghimpunkan pemimpin dunia, wakil kerajaan dan organisasi antarabangsa bagi memperkukuh tindakan iklim.

“Pavilion Malaysia menjadi platform untuk mengetengahkan penglibatan dan usaha negara dalam agenda perubahan iklim serta membuka ruang kepada perkongsian pengalaman, pertukaran pandangan dan kerjasama dengan komuniti antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Keberangkatan pasangan diraja tersebut mencerminkan sokongan terhadap kelestarian alam sekitar, pemeliharaan khazanah semula jadi dan kerjasama antarabangsa bagi pembangunan mampan.

Sultan Pahang sebelum ini turut menyokong pemuliharaan alam melalui penubuhan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah.

Antara agenda COP31 ialah memperkukuh inisiatif Sifar Sisa Global menerusi kerjasama sukarela antara negara, organisasi antarabangsa, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan masyarakat sivil bagi memperluas pengurusan sisa mampan serta ekonomi kitaran.

SUMBER:TRT Global