ASIA
2 min membaca
Thailand lancar serangan udara, ketegangan sempadan dengan Kemboja memuncak
Menurut laporan, tiga lokasi dikenal pasti sebagai sasaran awal serangan udara: Chong An Ma, Prasat Khana, serta satu tapak menara komunikasi berhampiran kawasan Preah Vihear.
Thailand lancar serangan udara, ketegangan sempadan dengan Kemboja memuncak
Pada jam 7 pagi di kawasan Chong Bok, seorang anggota tentera Thailand terkorban dan empat lagi cedera selepas diserang. / AP
sejam yang lepas

Komander Tentera Diraja Thailand melaporkan pertempuran semakin memuncak di beberapa kawasan sepanjang sempadan Thailand–Kemboja, dengan tentera Thailand bertindak balas mengikut peraturan libat urus sambil menggerakkan operasi pemindahan penduduk, lapor The Nation.

Jurucakap tentera, Mej Jen Winthai Suvaree mendakwa pertempuran terbaharu tercetus awal pagi Isnin di kawasan Chong An Ma, daerah Nam Yuen di Ubon Ratchathani, apabila pasukan Kemboja melepaskan tembakan senjata ringan dan senjata sokongan sekitar jam 5.05 pagi.

Tentera Thailand kemudiannya dikatakan membalas tembakan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Pada jam 7 pagi di kawasan Chong Bok, seorang anggota tentera Thailand terkorban dan empat lagi cedera selepas diserang.

Beliau berkata Thailand kini menggunakan aset udara untuk mengekang serangan Kemboja selepas beberapa kawasan tersebut melancarkan serangan darat dan udara ke arah Pasukan Anupong sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan.

Menurut laporan, tiga lokasi dikenal pasti sebagai sasaran awal serangan udara: Chong An Ma, Prasat Khana, serta satu tapak menara komunikasi berhampiran kawasan Preah Vihear.

Tentera Udara Diraja Thailand mengesahkan pesawat pejuang F-16 telah dikerah bagi memberi sokongan udara dan sedang melaksanakan operasi menjejaki serta memusnahkan kedudukan artileri Kemboja yang melepaskan tembakan ke dalam wilayah Thailand.

Sementara itu, di kawasan sempadan lain, Pasukan Tugas Suranaree di bawah Kawasan Tentera Kedua dan Pasukan Tugas Burapha di bawah Kawasan Tentera Pertama telah mengatur gerak anggota bagi membantu pemindahan orang awam mengikut pelan kesiapsiagaan yang digariskan.

Sementara itu, Presiden Senat Kemboja Hun Sen mengarahkan semua anggota di barisan hadapan terus berhemah dan bersabar meskipun “penceroboh” didakwa mengebom Kemboja sejak semalam hingga pagi ini, lapor The Phnom Penh Post.

Beliau menegaskan bahawa satu “garis merah” telah ditetapkan untuk sebarang tindakan balas.

Dalam hantaran Facebook hari ini, Hun Sen mendakwa Thailand sengaja melepaskan tembakan bagi mencetuskan tindak balas Kemboja yang boleh menggagalkan gencatan senjata dan deklarasi damai antara kedua-dua negara.

“Garis merah untuk tindakan balas sudah ditetapkan dan semua peringkat komander mesti memastikan pegawai serta anggota faham mengenainya,” katanya.

Beliau turut mengarahkan semua pihak berkuasa membantu pemindahan penduduk dari kawasan berbahaya ke zon selamat.

“Saya telah membatalkan semua program kerja yang lain untuk bersama Perdana Menteri mengetuai angkatan bersenjata bagi menghadapi pencerobohan ini,” tulisnya.

SUMBER:TRT World & Agencies