Ketika Israel mengeluarkan arahan pemindahan baharu yang meluas di seluruh Gaza, rakyat Palestin menyatakan mereka dilanda keletihan dan rasa putus asa dengan prospek untuk melarikan diri sekali lagi. Ramai yang mengemaskan beberapa barangan dan berjalan perlahan-lahan mencari tempat perlindungan baharu.
Sebahagian berkata mereka tidak sanggup lagi untuk berpindah.
Apabila diarahkan keluar dari Jabaliya di utara Gaza, Ihab Suliman dan keluarganya hanya sempat mengambil sedikit makanan dan selimut sebelum bergerak ke selatan pada 19 Mac. Itu adalah kali kelapan mereka melarikan diri sepanjang 18 bulan peperangan.
"Tidak ada lagi rasa kehidupan," kata Suliman, bekas profesor universiti. "Hidup dan mati sudah menjadi sama bagi kami."
Suliman adalah antara puluhan ribu rakyat Palestin yang telah melarikan diri dari tempat perlindungan sementara sejak Israel melanggar gencatan senjata berusia dua bulan pada 18 Mac dengan serangan bom dan serangan darat baharu.
Rasa gentar untuk memulakan semula hidup mereka, sebahagian rakyat Palestin mengabaikan arahan pemindahan terbaharu — walaupun ia bermakna mempertaruhkan nyawa.
"Selepas satu setengah tahun peperangan yang telah meletihkan semua orang, kanak-kanak dan ibu bapa mereka juga sudah terlalu letih dari segi fizikal dan mental," kata Rosalia Bollen, pakar komunikasi UNICEF.
Sejak sebulan lalu, Israel telah menyekat semua makanan, bahan bakar dan bekalan daripada masuk ke Gaza, dan kumpulan bantuan menyatakan tiada lagi khemah atau bekalan perlindungan lain untuk membantu mereka yang baru kehilangan tempat tinggal.
Pada hari Selasa, Program Makanan Dunia (WFP) menutup semua bakerinya di Gaza, yang menjadi sumber roti bagi ratusan ribu penduduk, kerana kehabisan tepung.
Ramai melarikan diri tanpa barangan
Arahan pemindahan rejim Zionis Israel kini meliputi kawasan luas di Gaza, termasuk banyak kawasan di Kota Gaza dan bandar di utara, sebahagian bandar selatan Khan Younis, serta hampir seluruh bandar selatan Rafah dan sekitarnya.
Sehingga 23 Mac, lebih 140,000 orang telah dipindahkan semula sejak berakhirnya gencatan senjata, menurut anggaran terkini PBB — dan puluhan ribu lagi dianggarkan telah melarikan diri di bawah arahan pemindahan sepanjang minggu lalu.
Setiap kali keluarga berpindah semasa perang, mereka terpaksa meninggalkan barangan dan hampir bermula dari kosong, mencari makanan, air dan tempat perlindungan. Kini, tanpa bahan bakar yang masuk ke kawasan, pengangkutan menjadi lebih sukar, jadi ramai yang melarikan diri hampir dengan tangan kosong.
"Dengan setiap pemindahan, kami diseksa seribu kali," kata Suliman.
Dia dan keluarganya menemui sebuah apartmen untuk disewa di bandar tengah Deir al-Balah. Katanya, mereka bergelut tanpa elektrik dan bantuan yang sedikit. Mereka terpaksa berjalan jauh untuk mencari air.
Ketika melarikan diri dari Rafah pada Isnin, Hanadi Dahoud berkata sukar untuk mencari keperluan asas.
"Ke mana kami harus pergi?" katanya. "Kami hanya mahu hidup. Kami sudah penat. Ada barisan panjang menunggu roti dan dapur amal."
Semasa gencatan senjata dua bulan yang bermula pada pertengahan Januari, ratusan ribu rakyat Palestin kembali ke kejiranan mereka. Walaupun rumah mereka musnah, mereka mahu berada berhampiran — kadangkala mendirikan khemah di atas atau bersebelahan runtuhan.
Mereka berharap ia akan menjadi pengakhiran pemindahan mereka dalam peperangan yang telah mengusir hampir keseluruhan penduduk sekitar 2.3 juta orang dari rumah mereka.















