ASIA
2 min membaca
Malaysia naik ke tangga ke-54 CPI 2025, skor meningkat kepada 52
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen kerajaan Madani membanteras rasuah sistemik dan memperkukuh struktur tadbir urus negara.
Malaysia naik ke tangga ke-54 CPI 2025, skor meningkat kepada 52
Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia kekal di tempat ketiga di belakang Singapura dan Brunei. (FAIL) / Reuters
14 jam yang lepas

Malaysia mencatat peningkatan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025, naik tiga anak tangga ke kedudukan ke-54 berbanding 57 pada tahun lalu, dengan skor turut meningkat dua mata kepada 52, menurut laporan Transparency International (TI) yang dikeluarkan pada Selasa.

Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia kekal di tempat ketiga di belakang Singapura dan Brunei.

TI memaklumkan CPI 2025 menilai persepsi rasuah sektor awam di 182 negara dan wilayah berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar, dengan skor antara sifar (kadar rasuah tinggi) hingga 100 (bebas rasuah).

Menurut TI, Denmark, Finland dan Singapura mendahului indeks berkenaan, manakala Sudan Selatan, Somalia dan Venezuela kekal di tangga tercorot.

TI Malaysia dalam kenyataan berkata peningkatan skor Malaysia mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha pembanterasan rasuah dan komitmen tadbir urus, namun menegaskan ia perlu dilihat sebagai langkah ke hadapan, bukan titik perubahan yang muktamad.

Antara faktor penyumbang termasuk pengenalan Akta Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal 2023, pindaan Akta Audit 1957 bagi memperluas pemantauan terhadap GLC dan GLIC, ketelusan pemilikan melalui pindaan Akta Syarikat 2024, tindakan penguatkuasaan terhadap pegawai kanan dan elit politik, serta penggubalan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan dan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2025.

TI Malaysia turut memetik komitmen Malaysia seperti Strategi Antirasuah Nasional (NACS) 2024-2028, penubuhan Pasukan Petugas CPI yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, cadangan Akta Kebebasan Maklumat, penubuhan Ombudsman Malaysia serta usaha memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Namun, ia mengingatkan masih terdapat kelemahan, termasuk risiko rasuah dalam perolehan awam, kekangan perlindungan pemberi maklumat, ketiadaan undang-undang pembiayaan politik yang menyeluruh dan ketelusan projek mega serta perolehan pertahanan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen kerajaan Madani membanteras rasuah sistemik dan memperkukuh struktur tadbir urus negara.

Beliau berkata tindakan tegas yang diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, LHDN dan Jabatan Kastam, termasuk usaha memulangkan lebih RM15.5 bilion hasil negara, telah menyumbang kepada peningkatan tersebut.

Menurut Anwar, kerajaan tidak berkompromi apabila integriti institusi strategik dipersoalkan, termasuk tindakan terhadap salah laku dalam sektor pertahanan serta pembongkaran kartel dan kes rasuah berprofil tinggi, dengan prinsip bahawa tiada siapa kebal di sisi undang-undang.

SUMBER:TRT Global