ASIA
2 min membaca
Bank of Thailand laksana had dagangan emas mulai 1 Mac
Had transaksi harian bagi pembelian atau penjualan emas ditetapkan pada maksimum 50 juta baht bagi setiap individu.
Bank of Thailand laksana had dagangan emas mulai 1 Mac
Bank of Thailand akan melaksanakan peraturan baharu bagi mengawal selia dagangan emas. (FAIL) / Reuters
30 Januari 2026

Bank of Thailand (BOT) akan melaksanakan peraturan baharu bagi mengawal selia dagangan emas menerusi sistem elektronik di luar Bursa Niaga Hadapan Thailand (TFEX), termasuk had transaksi harian bermula 1 Mac ini, lapor The Nation.

Menurut satu pengumuman kawalan pertukaran mata wang, had transaksi harian bagi pembelian atau penjualan emas ditetapkan pada maksimum 50 juta baht bagi setiap individu.

Sebarang transaksi yang melebihi jumlah itu memerlukan kelulusan terlebih dahulu daripada BOT melalui sistem dalam talian.

BOT memaklumkan langkah berkenaan bertujuan memperkukuh pemantauan dagangan emas domestik selaras dengan perkembangan ekonomi digital, selain mengelakkan risiko aliran keluar modal yang boleh menjejaskan undang-undang kawalan pertukaran asing.

Peraturan itu terpakai kepada semua transaksi emas menggunakan sistem elektronik sama ada dalam mata wang baht atau mata wang asing, dengan pemohon dikehendaki mengemukakan permohonan rasmi kepada BOT sekiranya mahu lebih daripada had yang ditetapkan.

Selain itu, penyedia perkhidmatan diwajibkan memastikan urus niaga dilakukan atas nama sendiri dan bukan untuk pihak lain, bagi mengelakkan sebarang cubaan memintas peraturan kawalan pertukaran asing, termasuk keperluan semua bayaran diselesaikan menerusi sistem pembayaran elektronik individu.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan bagi urus niaga antara penyedia perkhidmatan, pengilang produk berkaitan emas, serta individu yang memiliki pegangan emas melebihi 50 juta baht sebelum 31 Januari 2026, yang dibenarkan menjual semula pegangan tersebut tanpa tertakluk kepada had baharu.