Malaysia gesa elak ketegangan AS–Iran
Anwar turut memuji usaha konstruktif Oman dalam memudah cara dialog, selain menyeru negara-negara yang mempunyai pengaruh supaya menggunakan segala keupayaan bagi mengelakkan ketegangan.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat dan Iran, sambil memberi amaran bahawa penumpuan aset ketenteraan serta retorik yang semakin keras berisiko mencetuskan konflik.
Beliau berkata sebarang konfrontasi antara Washington dan Tehran akan membawa kesan meluas kepada Timur Tengah yang sudah pun rapuh, termasuk risiko peningkatan konflik proksi, ancaman terhadap keselamatan maritim serta kejutan ekonomi yang tidak terhad kepada rantau berkenaan.
“Tiada kepentingan strategik yang boleh menghalalkan kemusnahan nyawa dan harta benda yang bakal terhasil daripada konflik sedemikian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Anwar menegaskan keutamaan kepada keamanan mesti mengatasi segala pertimbangan lain, sambil menggesa semua pihak berundur daripada jurang konflik dan kembali kepada diplomasi secara serius dan segera, dengan memanfaatkan sepenuhnya semua saluran komunikasi.
Beliau turut memuji usaha konstruktif Oman dalam memudah cara dialog, selain menyeru negara-negara yang mempunyai pengaruh supaya menggunakan segala keupayaan bagi mengelakkan ketegangan dan mengawal diri demi kestabilan serantau dan antarabangsa.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan kerajaan Iran sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan serangan peluru berpandu baharu oleh Amerika Syarikat dan Israel, susulan penempatan aset utama daripada kumpulan serangan kapal induk USS Abraham Lincoln ke rantau itu.