Dua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 dilaporkan mengalami kecederaan ringan selepas konvoi logistik mereka terkena impak serangan udara ketika menjalankan misi rutin di Lubnan, pagi Khamis.
Insiden berlaku pada jam 9.25 pagi waktu tempatan di kawasan berhampiran Haris, kira-kira satu kilometer dari Pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNP) 6-43 di Tibnin.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin mengesahkan bahawa ketika kejadian, konvoi berkenaan sedang dalam perjalanan melaksanakan misi ulang bekal rutin menuju ke wilayah Tyre sebelum situasi cemas itu berlaku.
"Dua anggota terbabit terkena serpihan cermin kenderaan dan mengalami kecederaan ringan, manakala dua kenderaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengalami kerosakan material luaran," katanya dalam satu kenyataan.
Sejurus selepas serangan, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) daripada pangkalan berhampiran bersama unit perubatan dan logistik digerakkan serta-merta ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan dan menguruskan kenderaan yang rosak.
Khaled menambah, kedua-dua anggota terbabit telah pun menerima rawatan, manakala waris mereka juga telah dimaklumkan mengenai situasi tersebut.
"Tiada kecederaan serius atau kehilangan nyawa dilaporkan. Pasukan QRF yang tiba di lokasi melaksanakan penilaian keselamatan, memeriksa keadaan anggota dan kenderaan sebelum mengatur pergerakan konvoi kembali ke pangkalan dengan selamat," jelas beliau lagi.
Ekoran insiden tersebut, pihak MALBATT 850-13 kini memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) pergerakan, meningkatkan koordinasi bersama Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL), serta melaksanakan penilaian risiko yang lebih ketat bagi memastikan keselamatan maksimum buat pasukan pengaman negara yang sedang bertugas di kawasan bergolak.
















