Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terlibat dalam insiden pendaratan helikopter Super Lynx semasa sambutan ambang Tahun Baharu di Pantai Klebang di Melaka akan dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera 96 (HAT 96), Lumut, Perak pada hari ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata Ketua Teknik Marin Srimala (TMS) Mohammad Zullfika Mohiddi masih menerima rawatan di Zon Kuning, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka akibat kecederaan pada bahagian pinggang dan betis kanan.
“Mohammad Zullfika dijangka dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera 96 bagi menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut laporan The Star.
Beliau berkata seorang lagi anggota, Leftenan Komander Afiq Muzani Abdul Aziz, masih berada di bawah pemantauan rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka susulan komplikasi pada paru-paru.
Menurutnya, Afiq Muzani akan dipindahkan ke HAT 96 selepas keadaannya benar-benar stabil.
Pada Rabu, sebuah helikopter Super Lynx milik TLDM melakukan pendaratan cemas di Pantai Klebang ketika membuat penerbangan demonstrasi sempena sambutan ulang tahun ke-60 Kumpulan Gerak Khas Tentera Darat Malaysia.
Empat kru turut berada dalam pesawat itu ketika insiden berlaku pada kira-kira jam 10.50 malam dan kesemuanya berjaya diselamatkan sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.













