Sebarang akses pekerjaan yang diberikan kepada golongan pelarian di negara ini akan dihadkan kepada sektor yang menghadapi kekurangan tenaga kerja yang kritikal serta mempunyai kebergantungan tinggi terhadap pekerja asing.
Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Sabtu, keutamaan peluang pekerjaan akan terus dikekalkan untuk warga tempatan, manakala sektor yang terlibat merangkumi industri buruh intensif seperti perladangan, pertanian dan pembinaan.
Langkah ini dilihat sebagai strategi serampang dua mata untuk memenuhi keperluan pasaran kerja domestik tanpa menjejaskan hak pekerja sedia ada.
Pelarian yang memenuhi syarat tertentu akan diberikan peluang pekerjaan sah, namun pelaksanaannya tertakluk sepenuhnya kepada dasar dan kawalan ketat pihak kerajaan.
"Mana-mana individu yang dibenarkan bekerja secara sah akan tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang dan peraturan pekerjaan negara, termasuk pematuhan terhadap kadar gaji minimum dan perlindungan pekerja yang sedang berkuat kuasa. Langkah ini penting untuk mengelakkan eksploitasi buruh dan memastikan persaingan yang adil dalam pasaran kerja," jelas kementerian tersebut.
KDN turut menegaskan bahawa sektor profesional dan pekerjaan berkemahiran tinggi akan kekal tertakluk kepada syarat ketat serta proses penilaian oleh kementerian dan agensi kawal selia berkaitan.
Sambil menegaskan bahawa aspek keselamatan negara tidak akan dikompromi, kementerian menjelaskan pengurusan isu pelarian bukanla hanya merangkumi soal kemanusiaan mahupun imigresen, tetapi turut melibatkan penguatkuasaan undang-undang, kesihatan awam dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
"Oleh itu, usaha kerajaan MADANI melalui pelaksanaan Program Pendokumentasian dan Pendaftaran Pelarian merupakan langkah penting ke arah pengurusan pelarian yang lebih berstruktur, berasaskan data dan bertanggungjawab, bagi memastikan keselamatan dalam negeri terus terpelihara dan kepentingan rakyat Malaysia sentiasa diutamakan," tambah kenyataan itu lagi.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Malaysia sedang membangunkan pangkalan data pelarian sendiri bagi memperkukuh penguatkuasaan dan meningkatkan ketepatan rekod negara.
Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini turut menegaskan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelarian Rohingya yang didapati melanggar undang-undang negara, termasuk dalam urusan perniagaan dan pembinaan bangunan.














