Cadangan pembangunan Zon Ekonomi Sempadan (BEZ) Malaysia-Thailand di utara Semenanjung kini bersedia untuk dibawa ke peringkat rundingan dua hala yang lebih komprehensif.
Menteri Ekonomi Akmal Nasir berkata inisiatif strategik itu bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan selain memperkukuh integrasi wilayah selatan Thailand dengan utara Malaysia.
Kementerian Ekonomi melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah menyiapkan satu kajian khusus mengenai projek berkenaan, yang kini sedang diteliti menerusi siri libat urus bersama kementerian dan agensi berkaitan.
Bagi Perak, kawasan pintu sempadan strategik di Bukit Berapit, Pengkalan Hulu telah dikenal pasti untuk dirangkumi dalam pelan pembangunan tersebut.
"Cadangan zon ekonomi sempadan di utara Semenanjung Malaysia adalah sebahagian daripada usaha untuk merancakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan, terutamanya melalui integrasi syarikat tempatan dalam rantaian nilai," jelas beliau.
Sejajar dengan langkah Malaysia, kerajaan Thailand turut dilaporkan sedang memuktamadkan kajian serupa dengan kerjasama Bank Dunia bagi menilai potensi pembangunan di wilayah sempadan mereka.
Melihat kepada perkembangan positif tersebut, pelan pelaksanaan BEZ ini akan dibawa ke platform Jawatankuasa Malaysia-Thailand mengenai Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan (JDS) atau platform bilateral lain yang bersesuaian dalam masa terdekat.
Langkah proaktif ini juga merupakan sebahagian daripada agenda besar Putrajaya untuk merapatkan jurang wilayah melalui pelan pembangunan yang lebih bersasar dan berimpak tinggi.
Pelaksanaan zon ekonomi sempadan ini dijangka bakal memberikan limpahan ekonomi yang besar serta manfaat langsung kepada masyarakat setempat.
Ini termasuk peluang pekerjaan baharu serta peningkatan aktiviti perniagaan di kawasan sempadan kedua-dua negara.















