DUNIA
2 min membaca
Hubungan baik dengan kuasa besar tidak jejas prinsip negara - PM
Anwar menekankan bahawa keakraban antara pemimpin adalah kunci untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa demi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat Malaysia.
Hubungan baik dengan kuasa besar tidak jejas prinsip negara - PM
Anwar Ibrahim ketika berucap pada Ceramah Umum Pakatan Harapan di Muar, Johor. / Facebook/Anwar Ibrahim

Hubungan baik yang terjalin dengan kuasa besar dunia seperti China dan Amerika Syarikat tidak sesekali menghakis pendirian tegas Malaysia dalam mempertahankan prinsip nasional di peringkat antarabangsa, tegas Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Malaysia tetap mengamalkan dasar berkawan dengan semua negara, namun kekal teguh mempertahankan kepentingan nasional merangkumi aspek perdagangan, pelaburan serta penguatkuasaan undang-undang tanpa kompromi.

"Kita berkawan dengan semua namun tetap berpegang pada prinsip kita. Dia (Israel) buat tak betul terhadap Gaza, kita cakap tak betul," katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Pakatan Harapan di Muar, yang turut dikongsi secara langsung di Facebook beliau.

Anwar menjelaskan hubungan erat dengan China, sebagai contoh, telah membawa manfaat besar dalam sektor ekonomi dan pendidikan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang pelanggaran undang-undang domestik oleh mana-mana pihak asing.

"Kita baik dengan China sebab China baik dengan kita... kita boleh berdagang dan menghantar anak-anak belajar di sana. Tetapi kalau ada pihak melanggar peraturan dan berniaga tanpa permit, kita tetap ambil tindakan. Kita berkawan tetapi kita jaga kepentingan negara," tambahnya lagi.

Menurut Perdana Menteri, kedudukan Malaysia yang semakin dihormati di persada global membolehkan negara memainkan peranan lebih berkesan tanpa mengorbankan kedaulatan.

Ini terbukti menerusi kehadiran pemimpin utama dunia ke Malaysia termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, serta kunjungan rasmi Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang.

Anwar menolak kritikan pihak tertentu terhadap pendekatan diplomasi mesra yang diamalkannya.

Beliau menekankan bahawa keakraban antara pemimpin adalah kunci untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa demi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat Malaysia.

SUMBER:TRT Global