Trump puji peranan Malaysia dalam konflik Thailand-Kemboja
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Trump mengiktiraf kewibawaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam memastikan keamanan serantau, khususnya berkaitan isu konflik sempadan dua negara jiran itu.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memuji Malaysia atas peranannya dalam memudah cara perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand, yang disifatkan sebagai pencapaian besar bagi ASEAN.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Trump mengiktiraf kewibawaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam memastikan keamanan serantau, khususnya berkaitan isu konflik sempadan dua negara jiran itu.
“Presiden Trump mengiktiraf kejayaan Malaysia memudah cara perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand sebagai pencapaian besar yang memperlihatkan keteguhan Malaysia dan ASEAN,” kata Anwar dalam kenyataan selepas perbualan telefon bersama Trump pada Khamis.
Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada Trump atas sokongan Amerika Syarikat dalam memastikan gencatan senjata tersebut tercapai.
Beliau berkata Malaysia menantikan kehadiran Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan, yang akan menjadi platform penting untuk mengukuhkan kerjasama bagi keamanan dan kemakmuran rantau ini.
Perbualan telefon itu berlangsung ketika Anwar menerima kunjungan hormat Jamieson Greer, Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), yang kini berada di Malaysia sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat berkaitan.