PERANG GAZA
2 min membaca
Anwar: Lembaga Keamanan Gaza oleh AS harus hentikan keganasan Zionis terlebih dahulu
Anwar berkata, meskipun inisiatif itu dilihat sebagai satu langkah ke arah memberi tekanan kepada Israel untuk menghentikan keganasan, pelaksanaannya masih belum jelas dan belum menunjukkan hasil konkrit.
Anwar: Lembaga Keamanan Gaza oleh AS harus hentikan keganasan Zionis terlebih dahulu
Anwar berkata, Malaysia mengambil pendirian berhati-hati sebelum menyatakan sokongan terhadap penubuhan lembaga berkenaan. / Foto: JaPen Malaysia / Other
20 Januari 2026

Penubuhan “Lembaga Keamanan” bagi Gaza oleh Amerika Syarikat tidak akan memberi kesan bermakna terhadap usaha membina semula Palestin selagi serangan Zionis tidak dihentikan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, meskipun inisiatif itu dilihat sebagai satu langkah ke arah memberi tekanan kepada Israel untuk menghentikan keganasan, pelaksanaannya masih belum jelas dan belum menunjukkan hasil konkrit.

“Lembaga ini masih belum memperincikan objektifnya. Bagi saya, pertama, hentikan serangan yang belum berhenti. Perjanjian sudah dimeterai, tetapi serangan oleh rejim Zionis Israel masih berterusan.

"Dalam perbincangan saya dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dua minggu yang lalu, isu ini kita bangkitkan dan beberapa langkah kita usulkan, termasuk dengan Presiden Mesir, Abdul Fatah Al-Sisi.

"Sekarang ini, kita hantar utusan kita ke Qatar untuk mendapat maklumat dari segi risikan apa yang harus dilakukan bersama, tetapi yang nyata perdamaian itu walaupun langkah yang baik untuk menekan Israel untuk menghentikan, tapi masih belum berhasil,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia mengambil pendirian berhati-hati sebelum menyatakan sebarang sokongan terhadap penubuhan lembaga berkenaan.

Anwar turut memaklumkan beliau telah mengarahkan Kementerian Luar Negeri untuk mendapatkan senarai penuh individu yang terlibat dalam lembaga tersebut.

"Dari segi ahli terbabit, terdapat bangkangan yang kuat juga contohnya kedudukan bekas Perdana Menteri United Kingdom, Tony Blair yang terbabit secara langsung dalam serangan di Iraq dan sikapnya yang tidak telus dan adil dalam isu Palestin. Ada juga dimasukkan penyertaan Perdana Menteri Israel.

"Banyak pengumuman belum disahkan...saya juga sedang menghubungi beberapa teman dan pemimpin dunia Arab, Turkiye dan lain-lain meminta pandangan mereka," katanya.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan penubuhan Lembaga Keamanan bagi menyelia usaha pembinaan semula Semenanjung Gaza yang musnah.

Antara barisan pengasas termasuk Setiausaha Negara AS Marco Rubio, Steve Witkoff, Jared Kushner, bekas Perdana Menteri Britain Sir Tony Blair serta beberapa tokoh korporat dan kewangan antarabangsa.

SUMBER:TRT Global