Menteri Luar Mohamad Hasan menyifatkan tindakan Israel memanipulasi bantuan kemanusiaan di Gaza sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Beliau menegaskan lebih 1,700 penduduk awam terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan makanan sejak operasi Gaza Humanitarian Foundation (GHF) bermula Mei lalu.
“Israel sedang menggunakan bantuan kemanusiaan sebagai senjata dan mengenakan hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin. Ini jelas satu bentuk genosid yang sedang berlaku di Gaza,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau turut menuntut supaya komuniti antarabangsa mendesak Israel membenarkan aliran bantuan segera tanpa halangan, diterajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“UNRWA memainkan peranan yang tidak boleh diganti, dan Malaysia akan terus menyokongnya dari segi kewangan dan politik,” katanya.
Mohamad turut mengecam pembunuhan kira-kira 238 wartawan di Gaza yang menjadikan konflik itu paling berbahaya buat pengamal media.
“Kebebasan media mesti dihormati. Israel wajib memberi perlindungan kepada wartawan antarabangsa dan membenarkan laporan bebas dari Gaza,” tegasnya.

















