Tentera Darat Diraja Thailand bersedia bertindak sekiranya Kemboja melanggar perjanjian atau tersalah tembak di sepanjang sempadan pada 8 Februari, iaitu hari pilihan raya Thailand, kata jurucakap tentera Mejar Jeneral Winthai Suvaree seperti dipetik media tempatan The Nation.
Beliau berkata demikian semasa lawatan delegasi media ke sempadan Thai–Kemboja di wilayah Sa Kaeo yang berada dalam kawasan Burapa Task Force di bawah 1st Army Area.
Menurutnya, lawatan itu bertujuan memberi akses kepada pihak media untuk bertemu komander unit di lapangan.
Lawatan itu juga bertujuan untuk menunjukkan bahawa operasi Thailand sentiasa mematuhi peraturan yang telah dipersetujui, termasuk mengutamakan keselamatan awam.
Mengulas mengenai bunyi letupan atau tembakan yang dilaporkan dari semasa ke semasa, termasuk penggunaan pelancar bom tangan 40mm, beliau berkata insiden sedemikian lazimnya berpunca daripada kesilapan atau disiplin yang longgar.
Katanya, ini terutamanya terjadi semasa Kemboja menukar anggota tentera baharu yang tidak biasa dengan kawasan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, situasi itu masih belum menjejaskan operasi Thailand.
Setiap kawasan akan dinilai secara berasingan, dengan unit tempatan menggunakan saluran komunikasi sedia ada; jika gencatan senjata tidak dipatuhi atau kerjasama gagal, tindakan akan diambil mengikut keadaan.
Beliau turut mengingatkan komuniti antarabangsa untuk memerhati kedua-dua pihak. “Tidak perlu bimbang, namun tindakan sewajarnya akan diambil jika sesuatu perbuatan tidak dapat dijelaskan secara munasabah,” katanya.
Mengulas insiden sebelum ini yang melibatkan suar atau bom tangan yang jatuh berhampiran pangkalan Thai, Winthai berkata alasan “kurang disiplin” mungkin digunakan, namun niat sebenar akan terserlah dari masa ke masa.
Beliau turut menegaskan nada dan corak koordinasi akan menentukan sama ada pendekatan pihak lawan bersifat agresif atau saling menghormati.









