ASIA
2 min membaca
Turkish Airlines lancar penerbangan terus Istanbul–Phnom Penh
Laluan tersebut turut memperluas rangkaian Timur syarikat itu kepada 20 bandar dan 21 lapangan terbang, sekali gus menyokong pertumbuhan perdagangan dan ekonomi pasaran baharu di Kemboja.
Turkish Airlines lancar penerbangan terus Istanbul–Phnom Penh
(FAIL) Turkish Airlines mengendalikan penerbangan ke Phnom Penh tiga kali seminggu, dengan penerbangan dari Istanbul pada Rabu, Jumaat dan Ahad. / AA
15 Disember 2025

Hubungan penerbangan Kemboja dengan dunia antarabangsa, khususnya Eropah dan rantau Arab, diperkukuhkan lagi susulan pelancaran penerbangan terus Turkish Airlines antara Istanbul dan Phnom Penh, lapor The Phnom Penh Post.

Dengan laluan baharu ini, Kemboja menjadi negara ketujuh di Asia Tenggara bagi syarikat penerbangan nasional Türkiye itu, manakala Phnom Penh muncul sebagai bandar ke-11 dalam rangkaian serantau Turkish Airlines.

Laluan tersebut turut memperluas rangkaian Timur syarikat itu kepada 20 bandar dan 21 lapangan terbang, sekali gus menyokong pertumbuhan perdagangan dan ekonomi pasaran baharu di Kemboja.

Turkish Airlines mengendalikan penerbangan ke Phnom Penh tiga kali seminggu, dengan penerbangan dari Istanbul pada Rabu, Jumaat dan Ahad, manakala penerbangan pulang dari Phnom Penh ke Istanbul beroperasi pada Isnin, Khamis dan Sabtu.

Ia menjadikan Turkish Airlines satu-satunya syarikat penerbangan Eropah yang menawarkan penerbangan terus ke ibu kota Kemboja.

Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Airlines Bilal Ekşi berkata penambahan Phnom Penh sebagai destinasi baharu mencerminkan komitmen syarikat itu untuk terus menghubungkan benua serta mengukuhkan hubungan dengan destinasi strategik.

Menurutnya, laluan tersebut membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan dan perniagaan antara Türkiye dan Kemboja, selain mengukuhkan kedudukan syarikat itu di Asia Tenggara.

Sementara itu, Menteri yang bertanggungjawab ke atas Sekretariat Negara Penerbangan Awam Kemboja (SSCA) Mao Havannell menyifatkan pelancaran laluan tersebut sebagai satu pencapaian penting bagi sektor penerbangan negara, selain melambangkan hubungan persahabatan dan kerjasama yang semakin erat antara Kemboja dan Türkiye.

Melalui hab strategik Istanbul, Kemboja kini lebih mudah dihubungkan dengan pasaran global, pusat perniagaan dan destinasi budaya.

Menurut Kementerian Pelancongan Kemboja, seramai 7,479 pelancong dari Türkiye melawat negara itu dalam tempoh 10 bulan pertama 2025, meningkat 23.4 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Pihak berkuasa yakin laluan baharu itu akan terus merangsang pertukaran perdagangan, pelancongan serta kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.