Malaysia mempergiat usaha memperkukuh ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) bagi memacu pertumbuhan ekonomi serta daya saing negara ketika berdepan ketidaktentuan global, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata perkara itu menjadi tumpuan Mesyuarat Majlis Sains Negara Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikannya pada Selasa.
“Perancangan strategik ini penting dalam memastikan keupayaan STI negara dimanfaatkan bagi menghasilkan penyelesaian terhadap cabaran ekonomi, termasuk ketidaktentuan kewangan dan gangguan rantaian bekalan global,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Antara perkara yang dibincangkan ialah usaha memperkukuh kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global melalui penjajaran indikator STI serta hala tuju pembangunan teknologi kuantum negara.
Mesyuarat tersebut turut meneliti pembangunan fasiliti Biofoundry Perubatan Regeneratif Nasional menerusi kerjasama Bioeconomy Development Corporation dan BioVerde Technologies Sdn. Bhd. Sarawak.
“Saya mahu setiap inisiatif ini diberikan perhatian dan dipantau secara berterusan bagi memastikan pelaksanaannya mengikut garis masa yang ditetapkan, sekali gus membawa manfaat nyata kepada rakyat dan negara,” kata Anwar.















