DUNIA
2 min membaca
Kapal karam di Greece: Lima warga Malaysia selamat, dua ditahan
Kapal berkenaan dilaporkan mengalami kerosakan teknikal dan kegagalan sistem navigasi sehingga menyebabkan ia melanggar terumbu karang sebelum karam.
Kapal karam di Greece: Lima warga Malaysia selamat, dua ditahan
Wisma Putra berkata bantuan konsular sedang disalurkan bagi memastikan kebajikan semua warganegara yang terlibat terpelihara. /Foto: Kementerian Luar / User Upload

Kementerian Luar Negeri mengesahkan lima warganegara Malaysia berjaya diselamatkan selepas kapal yang dinaiki mereka karam di perairan Kastellorizo, Greece, Selasa lalu.

Insiden yang berlaku pada 12 Mei itu kini dalam pemantauan rapi Kedutaan Besar Malaysia di Bucharest, Romania.

Kapal berkenaan dilaporkan mengalami kerosakan teknikal dan kegagalan sistem navigasi sehingga menyebabkan ia melanggar terumbu karang sebelum karam.

Pihak Pengawal Pantai Greece yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya menyelamatkan semua mangsa yang terlibat.

Setakat ini, tiga daripada warga Malaysia tersebut telah pun dilepaskan oleh pihak berkuasa tempatan selepas selesai menjalani proses dokumentasi dan pemeriksaan imigresen.

Walau bagaimanapun, dua lagi individu masih berada dalam tahanan pihak berkuasa Greece bagi membantu siasatan lanjut.

Penahanan dua warga Malaysia itu berkaitan dengan dakwaan pelanggaran undang-undang alam sekitar.

Pihak berkuasa Greece sedang menilai tahap kerosakan terhadap ekosistem marin dan terumbu karang yang berpunca daripada impak pelanggaran kapal berkenaan.

Kementerian Luar Negeri memaklumkan bantuan konsular sedang disalurkan bagi memastikan kebajikan dan hak semua warganegara yang terlibat sentiasa terpelihara.

Pihak kedutaan juga terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengikuti perkembangan proses perundangan yang sedang berjalan.

"Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan kes ini secara dekat dari semasa ke semasa dan akan menyalurkan maklumat terkini mengikut keperluan," menurut kenyataan rasmi pada Rabu.

SUMBER:TRT Global