ASIA
2 min membaca
PM: Belanjawan 2027 mungkin dikurangkan, pendidikan tetap jadi keutamaan
Langkah itu adalah memperkukuh disiplin kewangan negara ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi global, namun beliau menegaskan perbelanjaan untuk kualiti pendidikan dan infrastruktur tidak akan dikorbankan.
PM: Belanjawan 2027 mungkin dikurangkan, pendidikan tetap jadi keutamaan
(FAIL) Perdana Menteri berkata setiap kementerian perlu mengenal pasti kecekapan perbelanjaan demi kepentingan makroekonomi negara. / Facebook/Anwar Ibrahim

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa semua kementerian bakal berdepan pengurangan bajet dalam Belanjawan 2027.

Langkah itu adalah memperkukuh disiplin kewangan negara ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi global, namun beliau menegaskan perbelanjaan untuk kualiti pendidikan dan infrastruktur tidak akan dikorbankan.

Bercakap pada majlis pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) hari ini, Anwar menjelaskan penjimatan tersebut boleh dicapai tanpa menjejaskan keutamaan nasional.

Menurutnya, setiap kementerian perlu mengetepikan amalan bekerja secara 'silo' dan mula mengenal pasti kecekapan perbelanjaan demi kepentingan makroekonomi negara.

“Jadi jangan kita ambil sikap sambil lewa atau remehkan bila saya nak buat keputusan umpamanya, baru, memang kita minta kementerian-kementerian termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, rayulah bagaimanapun, mesti ada pengurangan belanjawan. Kerana mustahil dalam RM20 bilion itu tak boleh dijimatkan, banyak bidang-bidang boleh dijimatkan,” kata Anwar dakam ucapannya.

Bagaimanapun, Anwar memberi jaminan bahawa usaha menambah baik kemudahan asas dan kualiti sistem pendidikan negara, sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti, akan diteruskan tanpa sebarang gangguan demi masa depan generasi muda.

"Tetapi soal penumpuan tentang mutu pendidikan, kemudahan asas pendidikan, baik di sekolah atau universiti, itu Insya-Allah kita akan teruskan tanpa gangguan," kata Anwar lagi.

Mengulas mengenai situasi global, beliau mengakui konflik di Timur Tengah yang dicetuskan oleh rejim Israel dengan bantuan Amerika Syarikat turut memberi kesan kepada keselamatan serantau dan ekonomi Malaysia, termasuk isu kenaikan harga barang.

Walaupun Malaysia merekodkan prestasi ekonomi antara yang terkuat di Asia dan ASEAN bagi suku pertama tahun ini, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak agar tidak memandang ringan impak ketegangan global tersebut.

Beliau memberi jaminan bekalan minyak mentah dan diesel negara kekal mencukupi menerusi hubungan baik dengan pengeluar tenaga utama seperti Arab Saudi.

SUMBER:TRT Global