Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan taklimat bersama barisan Jemaah Menteri pada Selasa bagi membincangkan rombakan Kabinet, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu, menurut laporan Bernama.
Beliau berkata Perdana Menteri juga dijangka memberikan penjelasan berhubung peletakan jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick.
“Saya hanya mengetahui (mengenai peletakan jawatan Ewon) melalui laporan berita. Namun, akan ada mesyuarat Kabinet pada Selasa ini dan kita akan mendengar sendiri penjelasan daripada Perdana Menteri.
“Kita juga akan berbincang mengenai rombakan Kabinet itu. Jadi, saya tidak mahu mengulas lanjut buat masa ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi penggulungan Konvensyen Nasional Amanah 2025 pada Ahad.
Apabila ditanya lanjut, Mohamad berkata peletakan jawatan Ewon tidak akan memberi sebarang kesan terhadap Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Sabtu lalu, Ewon mengumumkan peletakan jawatannya atas dasar prinsip dan pendiriannya berhubung tuntutan Sabah terhadap 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip dari negeri itu.














