Malaysia tidak akan berkompromi dengan pendirian dan prinsipnya semata-mata untuk hadir ke meja rundingan yang tidak menjamin keadilan sebenar untuk rakyat Palestin, kata Timbalan Menteri Luar Lukanisman Awang Sauni.
Beliau berkata Malaysia akan terus memanfaatkan semua platform yang ada termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN bagi memastikan suara rakyat Palestin terus diketengahkan di peringkat antarabangsa serta mendesak penyelesaian segera terhadap konflik itu.
“Malaysia akan kekal teguh bersama Palestin kerana perjuangan mereka adalah perjuangan kita, dan kemenangan mereka adalah kemenangan kemanusiaan,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat pada Khamis.
Lukanisman menjelaskan ketidakhadiran Malaysia ke Sidang Kemuncak Sharm El Sheikh pada Oktober 2025 tidak wajar dianggap sebagai kegagalan diplomatik, memandangkan penganjur Amerika Syarikat–Mesir hanya menjemput negara-negara yang memberi sokongan penuh terhadap pelan damai yang diusahakan Presiden AS Donald Trump.
“Malaysia memilih untuk tidak memberi sokongan serta-merta kerana mengambil pendekatan menilai terlebih dahulu pelan tersebut bagi memastikan hak mutlak rakyat Palestin dipelihara, termasuk menamatkan penjajahan dan menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kerajaan telah menyalurkan RM86 juta sejak 7 Oktober 2023 menerusi Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) untuk pelbagai misi kemanusiaan, termasuk Ops Ihsan, selain bekerjasama dengan Mesir, Jordan dan pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa melalui operasi penghantaran bantuan udara.
Kerajaan, katanya, juga mengambil berat laporan risiko penyakit berjangkit dalam kalangan kanak-kanak Palestin disebabkan ketiadaan imunisasi.
Tambahnya, Malaysia akan terus menyalurkan bantuan perubatan melalui badan antarabangsa bagi menyokong perkhidmatan kesihatan di Gaza dan Tebing Barat.











