Tentera Thailand pada Selasa berkata permusuhan dengan Kemboja “masih wujud”, sehari selepas Bangkok menggantung pelaksanaan perjanjian damai yang dimeterai bulan lalu susulan letupan periuk api di wilayah sempadan yang mencederakan empat anggota tentera.
Ketua Tentera Diraja Thailand Jeneral Pana Klaewblaudtuk berkata keputusan menggantung pelaksanaan perjanjian itu dibuat bagi mempertahankan hak negaranya untuk mempertahankan diri.
“Kebenaran kini jelas — permusuhan masih wujud,” katanya dalam satu kenyataan seperti dipetik AFP.
Insiden berlaku di wilayah Sisaket pada Isnin, menyebabkan seorang anggota kehilangan kaki kanan dan tiga lagi cedera ringan.
Tentera Thailand menuduh Kemboja menanam periuk api baharu di kawasan sempadan, satu tindakan yang melanggar Konvensyen Ottawa yang melarang penggunaan periuk api antipersonel.
Kemboja bagaimanapun menafikan tuduhan itu, dengan alasan letupan berpunca daripada sisa konflik lama.
Perjanjian damai yang ditandatangani pada 26 Oktober di Kuala Lumpur itu disaksikan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN, serta Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Ia bertujuan menamatkan pertempuran lima hari pada Julai lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 43 orang dan memaksa kira-kira 300,000 penduduk berpindah.
Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul mengesahkan penangguhan pembebasan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan sejak konflik Julai lalu, menurut laporan AP.
Beliau turut mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara dan dijadual melawat tentera yang cedera di Sisaket.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Nikorndej Balankura menuduh Kemboja “tidak ikhlas” dan menuntut permohonan maaf serta siasatan menyeluruh.
Kementerian Pertahanan Kemboja pula menegaskan situasi di sempadan “kekal tenang” dan menzahirkan komitmen untuk bekerjasama dengan Thailand bagi mengekalkan keamanan serta keselamatan orang awam.













