IKLIM
2 min membaca
Bilangan mangsa banjir di Sabah dan Sarawak meningkat melebihi 1,300
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang di beberapa bahagian Sarawak termasuk Sri Aman, Betong, Sarikei, dan Mukah yang dijangka berlarutan sehingga tengah.
Bilangan mangsa banjir di Sabah dan Sarawak meningkat melebihi 1,300
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang di beberapa bahagian Sarawak. / Foto: FB MetMalaysia / Other
11 jam yang lepas

Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak mencatatkan peningkatan kepada 1,361 orang pada pagi Rabu, susulan hujan lebat berterusan sejak semalam yang memaksa lebih ramai penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), menurut laporan BERNAMA.

Di Sabah, bilangan mangsa melonjak kepada 1,020 orang daripada 502 keluarga, berbanding hanya 445 orang malam semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah melaporkan sebanyak 40 buah kampung merentasi tiga daerah terjejas, dengan kesemua mangsa kini ditempatkan di lima buah PPS yang sedang beroperasi.

Daerah Kota Marudu menjadi kawasan paling teruk terjejas dengan 851 mangsa daripada 456 keluarga membabitkan lapan buah kampung. Kesemua mereka kini berlindung di PPS SMK Tandek 2 dan SMK Tandek.

Sementara itu, di Paitan dan Pitas, jumlah mangsa turut meningkat dengan beberapa PPS baharu termasuk Dewan Sinukab mula dibuka bagi menampung penduduk yang terjejas.

Di Sarawak, situasi banjir di Kuching menunjukkan peningkatan kecil dengan 341 mangsa daripada 91 keluarga ditempatkan di dua PPS setakat jam 8 pagi tadi.

Dewan R-Piang kini menempatkan penduduk dari Kampung Sinar Budi Baru, manakala Dewan Masyarakat Stapok menempatkan warga dari Kampung Desa Ria.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang di beberapa bahagian Sarawak termasuk Sri Aman, Betong, Sarikei, dan Mukah yang dijangka berlarutan sehingga tengah hari ini.

Pihak berkuasa terus memantau keadaan paras air sungai dan menasihatkan penduduk di kawasan berisiko rendah untuk sentiasa peka dengan arahan berpindah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.