Malaysia akan menggesa semua pengendali pusat data di negara ini supaya tidak menjadi hos, menyewakan ruang atau menyediakan perkhidmatan kepada tujuh syarikat yang disenaraikan dalam sekatan perdagangan Amerika Syarikat, ketika Washington memperketat kawalan terhadap eksport cip AI berprestasi tinggi, menurut laporan The Business Times.
Langkah itu akan dilaksanakan menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang akan memaklumkan pengendali pusat data mengenai status syarikat-syarikat berkenaan dan menasihati mereka agar tidak menjalinkan urusan perniagaan dengan entiti yang terlibat.
Dalam kenyataan pada Selasa, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan bahawa dua daripada syarikat yang disenaraikan di bawah Malaysia ialah Speedmatrix Sdn Bhd dan MSFusion Sdn Bhd.
MITI turut menegaskan bahawa berdasarkan rekod MIDA, PT Megaspeed International bukanlah entiti yang beroperasi di Malaysia serta tidak terlibat sebagai pengendali atau penyewa pusat data di negara ini.
Menurut MITI, Malaysia kekal komited terhadap persekitaran perdagangan yang selamat, telus dan berasaskan peraturan, serta tidak akan membenarkan negara ini digunakan sebagai saluran untuk mengelakkan kawalan eksport antarabangsa.
Kementerian itu menegaskan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berkaitan.
Selain Speedmatrix dan MSFusion, syarikat lain yang tersenarai termasuk PT Megaspeed International serta beberapa syarikat berpangkalan di Singapura dan Thailand.
Empat lagi syarikat yang disenaraikan ialah Megaspeed International Pte Ltd, Apex Enterprise Solutions (Singapore) Pte Ltd, Swiftdata Pte Ltd dan Megaspeed (Thailand) Co Ltd.
Kesemua syarikat tersebut telah dimasukkan ke dalam senarai entiti Biro Industri dan Keselamatan AS (BIS).
Dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bahawa Megaspeed yang berpangkalan di Singapura merupakan syarikat induk kepada Speedmatrix di Malaysia.
Sementara itu, MSFusion pernah disenaraikan sebagai anak syarikat milik penuh Megaspeed pada 2024, sebelum pegangan tunggalnya dipindahkan kepada WFCT Cayman Holdings Ltd menjelang 2026.
Swiftdata pula merupakan syarikat induk kepada Megaspeed, manakala Apex Enterprise Solutions, sebuah anak syarikat Alibaba Group di Singapura, dilaporkan menyediakan pembiayaan kepada Megaspeed melalui Speedmatrix di Malaysia dengan aset teknologi maklumat dan harta intelek dijadikan cagaran.















