Malaysia sedang membincangkan kemungkinan mengembalikan Formula Satu (F1) secara tetap ke Litar Antarabangsa Sepang, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Saya menantikannya. Kami sedang berbincang,” katanya ketika ditanya bekas pelumba F1 dan pengulas Sky Sports F1, Martin Brundle, semasa sesi tinjauan petak permulaan sebelum perlumbaan.
F1 kembali ke Sepang hujung minggu lalu buat kali pertama dalam sembilan tahun, dengan Malaysia menjadi tuan rumah Grand Prix Bahrain pada 2 hingga 4 Oktober selepas perlumbaan itu dipindahkan dari Bahrain.
Penganjuran tersebut hanya melibatkan edisi 2026 menerusi persetujuan kerajaan Malaysia dan Bahrain, dan bukannya menandakan kepulangan tetap Grand Prix Malaysia dalam kalendar F1.
Sepang sebelum ini menganjurkan perlumbaan itu sebanyak 19 kali antara 1999 hingga 2017.
Terdahulu, Anwar mengunjungi G Hillstand untuk bertemu peminat F1, termasuk pemegang tiket MADANI.
Dalam hantaran di Facebook, beliau turut mengetengahkan Karnival Litar Rasa Madani yang menampilkan kira-kira 40 peniaga makanan dan minuman tempatan.
“Sambil menikmati perlumbaan di litar, bolehlah menjamu selera dan menyokong peniaga kita!” katanya.
Menurut Anwar, inisiatif itu bertujuan memastikan kemeriahan F1 turut membawa manfaat ekonomi kepada peniaga tempatan.






















