ASIA
1 min membaca
Jerebu membimbangkan, Anwar hubungi Prabowo gesa kerjasama ASEAN
Malaysia menyatakan kesediaan bekerjasama sejak beberapa minggu lalu berikutan kesan jerebu terhadap kesihatan rakyatnya.
Jerebu membimbangkan, Anwar hubungi Prabowo gesa kerjasama ASEAN
Kebakaran hutan dan tanah di Indonesia dilaporkan masih berterusan. / AP

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menghubungi Presiden Indonesia Prabowo Subianto bagi menangani jerebu yang semakin membimbangkan, ketika 38 kawasan di Malaysia mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat 1 tengah hari.

“Saya sudah menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo dan beliau juga bersetuju untuk mengambil langkah-langkah yang perlu,” katanya ketika ditemui pada Hari Tinjauan Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini.

Anwar berkata Menteri Luar Mohamad Hasan dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Arthur Joseph Kurup turut menghubungi rakan sejawat masing-masing.

Malaysia menyatakan kesediaan bekerjasama sejak beberapa minggu lalu berikutan kesan jerebu terhadap kesihatan rakyatnya.

“Kita meningkatkan hampir saban hari operasi pembenihan awan (OPA) oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan beberapa agensi lain berkaitan tetapi keadaan masih merunsingkan,” katanya.

Beliau turut meminta Menteri Luar menghubungi Sekretariat ASEAN untuk meneroka kemungkinan mengadakan satu lagi mesyuarat menteri berkaitan alam sekitar.

Anwar menegaskan kerajaan akan terus memantau keadaan dan melaksanakan langkah yang diperlukan.

Ketika kebakaran hutan dan tanah di Indonesia masih berterusan, Segamat merekodkan antara bacaan IPU tertinggi pada 189, diikuti Seremban 185, Nilai 184 dan Kluang 181.

Johan Setia pula mencatatkan bacaan 179, Rompin 177, Larkin dan Pasir Gudang masing-masing 175, serta Cheras 174.

SUMBER:TRT Global