Marcos meterai perjanjian perdagangan, pertahanan di UAE

Kemuncak lawatan ini ialah pemeteraian dua perjanjian dua hala antara Filipina dan UAE, iaitu Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) serta Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Pertahanan.

By
Marcos merupakan pemimpin Filipina pertama yang mengadakan lawatan ke UAE sejak lawatan bekas Presiden Gloria Macapagal-Arroyo pada 2008. (FAIL) / AP

Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr tiba di Emiriah Arab Bersatu (UAE) lewat malam Isnin bagi lawatan kerja sehari atas jemputan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, menurut Pejabat Komunikasi Presiden (PCO) dalam laporan Inquirer.net.

Pesawat yang membawa Marcos mendarat di Lapangan Terbang Al Bateen, Abu Dhabi pada jam 11.09 malam waktu tempatan, dan beliau disambut oleh Menteri Negara UAE Saeed Al Hajeri.

Kemuncak lawatan ini ialah pemeteraian dua perjanjian dua hala antara Filipina dan UAE, iaitu Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) serta Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Pertahanan.

CEPA bertujuan memperluas akses pasaran dan akan menjadi perjanjian perdagangan bebas pertama antara Filipina dan UAE, manakala kerjasama pertahanan dijangka memperkukuh pembangunan teknologi pertahanan Filipina.

Menurut PCO, semasa lawatan itu Marcos turut menyertai pemimpin dunia lain menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi, sebuah forum tahunan yang menjadi platform kerjasama antarabangsa bagi menangani cabaran global semasa dan masa hadapan.

Presiden Filipina itu juga dijadual mengadakan pertemuan dengan pemain dari sektor perniagaan serta berinteraksi dengan komuniti rakyat Filipina yang menetap di UAE.

Marcos merupakan pemimpin Filipina pertama yang mengadakan lawatan ke UAE sejak lawatan bekas Presiden Gloria Macapagal-Arroyo pada 2008.