Malaysia sedang meninjau peluang kerjasama dengan India dan Iran dalam sektor telekomunikasi, khususnya berkaitan keselamatan dalam talian, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, lapor Bernama.
Bercakap selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Chandra Sekhar Pemmasani dari India dan Timbalan Menteri Teknologi Iran Sattar Hashemi di sela-sela Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia 2025 (WTDC-25) di Azerbaijan, Fahmi berkata kedua-dua negara itu menawarkan pengalaman penting yang boleh dimanfaatkan Malaysia.
“Saya melihat pengalaman mereka dalam menangani isu penipuan, keselamatan dalam talian serta beberapa aplikasi telekomunikasi membuka ruang kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Pertemuan itu turut disertai Penasihat Kanan Hal Ehwal Antarabangsa MCMC Mohd Annuar Zaini; Timbalan Pengarah Urusan MCMC Zulkarnain Mohd Yasin; serta Setiausaha Bahagian Teknologi Komunikasi Kementerian Komunikasi Ahmad Norhad Zahari.
Menurut Fahmi, hubungan baik Malaysia dengan India dan Iran akan dimanfaatkan untuk memperkukuh infrastruktur digital negara, dengan satu memorandum persefahaman (MoU) bersama Iran dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.
Beliau turut memaklumkan kepada rakan sejawatnya mengenai hasrat Malaysia mempertahankan kerusi dalam Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada pemilihan November 2026, sambil menekankan pengalaman negara mengurus isu capaian internet luar bandar melalui program Jendela.













