MetMalaysia keluarkan amaran taufan Fung-Wong, ribut petir di beberapa negeri
Dalam kenyataannya, MetMalaysia memaklumkan taufan itu bergerak ke arah barat-barat laut dengan kelajuan 30 kilometer sejam dan kelajuan angin maksimum mencecah 120 kilometer sejam.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran berhubung Taufan Fung-Wong yang dikesan kira-kira 129 kilometer ke barat daya Vigan City, Filipina, pagi Isnin.
Dalam kenyataannya, MetMalaysia memaklumkan taufan itu bergerak ke arah barat-barat laut dengan kelajuan 30 kilometer sejam dan kelajuan angin maksimum mencecah 120 kilometer sejam.
“Taufan Fung-Wong dikesan pada latitud 17.4 utara dan longitud 119.2 timur, iaitu sekitar 1,196 kilometer ke timur laut Kudat, Sabah. Keadaan ini dijangka menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Laut China Selatan,” katanya.
Monsun Timur Laut dijangka bermula pada 13 November dan berterusan sehingga Mac 2026. Dalam tempoh ini, lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku.
Sementara itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir bagi beberapa negeri termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan serta Johor, yang berkuat kuasa sehingga tengah hari Isnin.
Antara kawasan yang dijangka terjejas termasuk Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; serta Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak di Perak.
Daerah-daerah di Selangor seperti Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang turut dijangka mengalami hujan lebat dan angin kencang, bersama Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Jelebu dan Seremban di Negeri Sembilan serta Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor turut berada dalam amaran yang sama.
Menurut jabatan itu, amaran ribut petir dikeluarkan apabila hujan lebat berintensiti melebihi 20 milimeter sejam dijangka berlaku atau berterusan lebih daripada satu jam.