Hubungan diplomatik yang kukuh antara Malaysia dan Myanmar merupakan elemen penting dalam usaha menangani isu melibatkan kira-kira 200,000 warga Myanmar yang berada di Malaysia.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata penyelesaian isu tersebut memerlukan rundingan secara terus dengan kerajaan Myanmar dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada organisasi antarabangsa atau negara luar.
Menurut Anwar, pendekatan diplomatik yang diamalkan Malaysia sebelum ini telah membolehkan lebih 10,000 warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal menerusi rundingan antara kedua-dua kerajaan.
“Isu 200,000 warga Myanmar di Malaysia tidak akan dapat diselesaikan oleh organisasi antarabangsa atau negara asing. Walau sehebat mana pihak lain bercakap mengenainya, kita tetap perlu menyelesaikannya sendiri,” katanya ketika berucap pada pelancaran Dasar Keselamatan Negara 2026-2030 pada Khamis.
Anwar berkata Malaysia turut memberi perhatian terhadap aspek keselamatan warga Myanmar yang dihantar pulang, termasuk mendapatkan jaminan bahawa mereka tidak akan berdepan tindakan yang boleh mengancam keselamatan sebaik kembali ke negara asal.
Beliau menjelaskan perkara itu antara isu utama yang dibincangkan dalam rundingan dengan pihak Myanmar bagi memastikan proses penghantaran pulang dilaksanakan dengan mengambil kira kebajikan dan keselamatan individu terbabit.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa usaha menyelesaikan isu berkenaan perlu mengambil kira implikasi sekiranya ia berlarutan, termasuk peningkatan kos pentadbiran serta kebimbangan yang semakin memuncak dalam kalangan rakyat tempatan.
Mengulas kritikan Amnesty International terhadap pendekatan Malaysia dalam hubungan dengan Myanmar, Anwar berkata beliau menghormati pertubuhan hak asasi manusia itu dan terbuka menerima pandangan serta kritikan yang dikemukakan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setiap keputusan dasar luar perlu dinilai berdasarkan kepentingan negara dan rakyat, termasuk keperluan mengekalkan hubungan baik dengan kerajaan Myanmar bagi mencari penyelesaian yang berkesan terhadap isu tersebut.
Anwar berkata hubungan mesra dengan negara jiran dan rakan serantau perlu terus diperkukuh kerana diplomasi merupakan antara instrumen utama dalam menangani cabaran keselamatan negara, di samping pendekatan pertahanan dan ketenteraan serta keupayaan mengurus hubungan luar dan isu rentas sempadan secara berhemah.














